Wanita lakukan pemindahan muka kali kedua

Iklan
Gambar Tarleton sebelum mengalami kecacatan pada wajah.- Foto Daily Mail Gambar kanan: Gambar Tarleton selepas lakukan pemindahan muka kali kedua. - Foto Daily Mail

BOSTON - Seorang wanita yang menjalani pembedahan pemindahan muka untuk kali kedua membuat penampilan pertama bagi menunjukkan wajah baharunya.

Menurut Daily Mail, Carmen Tarleton menjadi rakyat Amerika Syarikat (AS) pertama menjalani pembedahan berkenaan untuk kali kedua, mengucapkan terima kasih kepada keluarga penderma atas pemberian yang disifatkan ‘hadiah paling bermakna’ untuknya.

Iklan
Iklan

Wanita berusia 53 tahun itu menjadi individu kedua di dunia menjalani prosedur berkenaan setelah pembedahan pemindahan muka pertamanya gagal tujuh tahun lepas.

Tarleton yang mengalami kecacatan teruk pada wajahnya selepas menjadi mangsa serangan oleh suaminya pada 2007, dilaporkan semakin pulih sejak menjalani pembedahan itu di Brigham and Women’s Hospital di Boston pada Julai tahun lalu.

Iklan

Dia yang merupakan bekas jururawat menunjukkan wajah baharunya buat pertama kali menerusi satu temubual program Today di NBC.

"Setiap minggu, saya menjadi lebih baik. Saya sangat teruja untuk mengetahui apa akan berlaku selepas ini. Saya banyak bersabar,” katanya.

Iklan

Baru-baru ini, Tarleton dapat bertemu dengan keluarga penderma secara maya dan mengucapkan terima kasih kepada mereka.

Penderma bagi pembedahan kedua Tarleton merupakan Casey Harrington Labrie, 36, yang meninggal dunia pada Julai tahun lalu akibat dadah berlebihan.

Tarleton mengatakan setiap kali melihat dirinya di cermin akan mengingati Casey.

Tarleton menjalani pembedahan pemindahan muka kali pertama pada 2013 dan ia hanya bertahan selama tujuh tahun sebelum doktor menemui kerosakan tisu ketika badannya mula menunjukkan tindak balas terhadap tisu penderma.

Penderma pertama Tarleton adalah Cheryl Denelli Righter, 56, yang meninggal dunia akibat serangan strok.

Insiden mengerikan itu berlaku pada 2007 mengakibatkan Tarleton mengalami luka melecur lebih 80 peratus di badan, wajahnya hingga buta selepas suaminya, Herbert Rodgers memukulnya dengan kayu besbol serta menyimbah bahan kimia ke atas tubuhnya kerana mengesyaki dia menjalin hubungan dengan lelaki lain.

Sehingga kini, Tarleton telah menjalani 73 pembedahan pada wajahnya.