Raja Permaisuri Agong rai pembukaan 100 kedai kraf TTAHM online

Iklan
Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah

KUALA LUMPUR - Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan meraikan pembukaan 100 kedai di platform The Tunku Azizah Handmade Market (TTAHM) Online secara dalam talian hari ini.

Tunku Azizah yang juga penaung platform itu bertitah, TTAHM Online yang dirasmikannya tahun lepas kini mempunyai 100 pekedai menjual pelbagai produk kraf tangan.

Iklan
Iklan

"Saya gembira kerana majoriti mereka adalah daripada kumpulan B40, ibu tunggal dan orang kurang upaya yang memilih untuk tidak patah semangat dan terus berdikari berusaha menjana pendapatan,” titah Tunku Azizah yang menyertai majlis itu secara dalam talian dari Istana Negara di sini hari ini.

Raja Permaisuri Agong bertitah TTAHM Online memberi ruang kepada penggiat kraf tangan memasarkan produk tanpa had ke peringkat antarabangsa serta bimbingan berkaitan selok-belok perniagaan dalam talian dan menguasai ilmu perniagaan dalam talian adalah penting dalam situasi pandemik Covid-19.

Iklan

TTAHM yang berada di bawah kendalian Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia (PSJKM) ditubuhkan sejak Februari tahun lepas untuk membantu usahawan industri pembuatan kraf tangan tempatan memasarkan produk sendiri secara dalam talian.

Sementara itu, seramai 79 pelajar jurusan fesyen dan pakaian kolej komuniti dan politeknik menerima sumbangan mesin jahit oleh PSJKM melalui tanggungjawab sosial korporat Mostwell Sdn Bhd pada Januari tahun ini.

Iklan

"Harapan saya, pelajar yang menerima sumbangan mesin jahit ini dapat memanfaatkannya dengan sebaik mungkin dan dapat menguasai kemahiran jahitan kreatif seterusnya berbakti kepada keluarga, masyarakat dan negara,” titah Tunku Azizah.

Raja Permaisuri Agong juga bertitah mengingatkan rakyat Malaysia untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani pandemik Covid-19.

"Kepada rakyat Malaysia, saya berharap kita sama-sama bertanggungjawab untuk melawan Covid-19 daripada merebak,” titahnya.

- Bernama