GEORGETOWN - Kenyataan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li mengenai penolakan kerjasama antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) disifatkan sebagai pandangan peribadi.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Majlis Tertinggi UMNO mempunyai pandangan dan keputusan tersendiri berhubung perkara yang dibangkitkan itu.
Mahdzir bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada Ku Li terhadap pandangan beliau tersebut.
"Itu pandangan peribadi dia (Ku Li). Parti ada keputusan sendiri. Kita tak salahkan dia (Ku Li).
"Terima kasih di atas pandangan beliau mengenai perkara itu, namun parti ada pandangan peribadi sendiri," katanya pada Program Ceria Ke Sekolah TNB di Menara JKP di sini pada Rabu.
Sebelum ini, Ku Li dalam satu hantaran di Facebooknya berkata, Majlis Tertinggi UMNO mesti mengadakan mesyuarat tergempar dalam membuat keputusan kerjasama dengan Bersatu mengikut semangat dan kehendak perwakilan 147 bahagian.
Menurutnya, UMNO perlu membuat keputusan supaya semua ahli wajib mengundi menolak pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga ketua kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Katanya, UMNO perlu membuat keputusan dengan meminta ahli-ahli Parlimen semua parti komponen Barisan Nasional (BN) turut sama mengundi menolak kepimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sebelum Parlimen dipanggil bersidang.