Aplikasi EasyKitt alternatif selesai masalah dihadapi industri

Iklan
Lima pelajar PMJB menunjukkan ciptaan mereka yang dinamakan EasyKitt.

JOHOR BAHRU - Politeknik Metro Johor Bahru (PMJB), di sini, terus berinovasi dan kali ini menerusi ciptaan alat untuk kegunaan industri yang dinamakan 'EasyKitt'.

Alat berkenaan yang berbentuk aplikasi mudah alih ini dihasilkan oleh lima pelajar PMJB yang sedang menjalani latihan praktikal yang dikenali dengan Work Based Learning (WBL) di industri logistik yang diketuai Amira Suhaimi bersama Saifuldin Jabar, Mohamad Iman Amienuddin Mohd Aris, Arif Hidayat Syafrizal dan Muhamad Hanaffi Ngadi.

Iklan
Iklan

Kesemua pelajar ini merupakan pelajar semester akhir Diploma Logistik dan Rangkaian Bekalan.

Menurut penyelia projek yang juga merupakan Pensyarah PMJB, Nurzarimah Jamil, projek inovasi EasyKitt ini merupakan alternatif bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi industri terutama dalam sistem penyimpanan dan merekod barang-barang di gudang penyimpanan.

Iklan

"Sebelum EasyKitt, setiap rekod penyimpanan barang-barang dilakukan secara manual namun kini semua boleh dilakukan dengan lebih mudah.

"EasyKitt merupakan satu aplikasi mudah alih yang boleh digunapakai di mana dan pada bila-bila masa sahaja.

Iklan

"Ia amat sesuai digunakan di gudang penyimpanan barang kerana aplikasi ini dapat merekod inventori barang-barang yang disimpan, lokasi gerakan barang-barang tersebut dan pegawai yang bertanggungjawab ke atas barang-barang tersebut," katanya kepada Sinar Harian.

Nurzarimah berkata, selain itu, aplikasi ini juga membantu dalam merekod setiap projek pemasangan barang-barang tersebut.

"Apa yang lebih menarik, projek inovasi EasyKitt ini akan dipertandingkan di Borneo Innovation Festival (BIF 2019) di Mukah, Sarawak pada Mac nanti.

"Ini merupakan satu penghargaan buat pelajar PMJB yang mencipta inovasi aplikasi mudah alih ini walaupun mereka bukanlah pelajar jurusan Teknologi Maklumat, namun mereka telah membuktikan bahawa jurusan berlainan juga mampu untuk mencipta inovasi berkaitan teknologi maklumat," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini beberapa pihak industri menunjukkan minat menggunakan aplikasi mudah alih EasyKitt.

"Ini kerana ia dapat menjimatkan kos dan tenaga pekerja. Kami merancang penciptaan aplikasi ini dapat dipatenkan dalam jangka masa terdekat," katanya.