JOHOR BAHRU - Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Kerajaan Negeri Johor akan terus memfokuskan pelaksanaan projek pembangunan strategik di Mersing, khususnya sektor pelancongan dan pertanian bagi memperkasa ekonomi selain membasmi kemiskinan.
Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat berkata, keutamaan pihaknya di daerah itu adalah untuk memperkasa ekonomi tempatan menerusi penyediaan asas pembangunan sosioekonomi secara berterusan.
"Kami memanfaatkan khazanah alam semula jadi di Mersing bagi mewujudkan peluang baharu dalam sektor pelancongan dan perniagaan tani untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau sebelum itu menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Johor yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, di sini, pada Selasa.
Menurut Baidzawi, bagi merancakkan sektor pelancongan, ECERDC akan terus melaksanakan pelbagai projek infrastruktur strategik di bawah strategi pembangunan 'Dari Hutan Hujan ke Terumbu Karang' di bawah Pelan Induk ECER 2.0.
Antara projek sedang dilaksanakan adalah Pusat Informasi dan Perkhidmatan Taman Laut Sultan Iskandar (PIPTLSI) yang dijangka siap pada akhir Jun depan yang berperanan sebagai pusat maklumat sehenti untuk pelancong ke pulau sekitar Mersing serta Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dalam memenuhi keperluan masyarakat setempat.
"Sebuah lagi projek menarik adalah inap desa ‘Kampungstay’ di Air Papan, Mersing, yang melibatkan pembinaan chalet bertemakan resort yang bertujuan mentransformasi konsep inap desa tradisional.
"Projek yang dijangka siap pada Mac tahun depan itu membolehkan masyarakat setempat meraih pendapatan melalui koperasi yang akan diwujudkan bagi mengurus kemudahan ‘Kampungstay,’ peluang pekerjaan serta keusahawanan berkaitan dengan pelancongan,” katanya.
Selain itu, katanya, ECERDC juga sedang menaik taraf kemudahan pelancongan dan membangunkan ‘Rainforest Discovery Centre’ di Taman Negara Johor Endau-Rompin (TNJER) dijangka bermula pada Jun depan yang dapat memberi manfaat kepada usahawan tempatan dan Orang Asli.
Menurut Baidzawi, usaha pertanian utama di Mersing pula merangkumi projek Lembah Tenusu Jemaluang (JDV) yang menumpukan penternakan lembu tenusu serta Pusat Pemprosesan Ikan Bersepadu Endau-Mersing.
"Pembinaan JDV yang dijadualkan bermula pertengahan tahun ini dan beroperasi sepenuhnya pada 2023, merangkumi kandang lembu, kawasan pemerahan susu, pusat pemprosesan susu dan stesen makanan untuk haiwan ternak.
"JDV ini juga dijangka meningkatkan pengeluaran susu negara sebanyak 11 peratus,” katanya.
Pembangunan Pusat Pemprosesan Ikan Bersepadu Endau-Mersing di kawasan seluas 1.15 hektar yang dijangka siap pada Mac 2021 pula merangkumi kemudahan ruang sejuk berpusat, kemudahan pemprosesan produk ikan, makanan laut serta kemudahan mengilang.
"ECERDC menjangkakan kedua-dua projek tersebut akan mengubah landskap perniagaan tani di Mersing secara signifikan selain menjadi pemacu utama ekonomi setempat dengan mewujudkan peluang pekerjaan baharu bagi rakyat,” katanya. - Bernama