Covid-19: Perak terima sebahagian lagi vaksin hari ini

Iklan
Kenderaan DHL Express yang membawa vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech diiringi pasukan PDRM tiba untuk dibawa ke Pusat Penyimpanan Vaksin di Hospital Raja Permaisuri Bainun pada Rabu. Foto Bernama

IPOH - Perak menerima sebahagian lagi bekalan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech yang dihantar ke empat Pusat Simpanan Vaksin (PSV) pada Rabu bagi pelaksanaan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, bekalan vaksin itu dibawa menaiki kenderaan logistik dari PSV di Bayan Lepas, Pulau Pinang dengan kawalan ketat yang diiringi pasukan kereta peronda polis (MPV) dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik bermula jam 9.15 pagi.

Iklan
Iklan

"Kesemua bekalan vaksin itu dibawa ke empat PSV di Perak iaitu Hospital Taiping, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, Hospital Angkatan Tentera di Lumut dan Hospital Teluk Intan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, bekalan itu dibawa ke Hospital Taiping sebelum selebihnya dibawa ke HRPB dan tiba pada jam 11.50 pagi, manakala sebuah lagi kenderaan juga tiba di Hospital Angkatan Tentera Lumut pada jam 11.50 pagi sebelum sebahagian lagi dibawa ke Hospital Teluk Intan.

Iklan

Tinjauan Bernama di HRPB di sini mendapati proses penghantaran vaksin tersebut berjalan lancar dan dilaksanakan dengan baik.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin ketika dihubungi berkata, bekalan vaksin yang tiba itu merupakan dos untuk petugas barisan hadapan fasa pertama yang masih belum mendapatkan suntikan.

Iklan

Berdasarkan data Jabatan Kesihatan negeri, Perak sebelum ini telah menerima 22,230 dos pertama bekalan vaksin untuk diberikan sepanjang pelaksanaan fasa pertama program melibatkan 39,760 petugas barisan hadapan yang dijangka selesai pada penghujung April ini.

Mereka terdiri daripada 22,094 petugas di bawah Kementerian Kesihatan, manakala 17,666 lagi merupakan petugas barisan hadapan daripada jabatan lain yang turut terlibat secara langsung dalam aktiviti pencegahan dan kawalan Covid-19.

Bekalan pertama vaksin jenis sama tiba Perak pada 24 Februari lepas dan ditempatkan di keempat-empat PSV berkenaan.

Pada Isnin lepas, program pemberian vaksin bermula dengan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad menjadi antara yang terawal menerima suntikan vaksin berkenaan di Pusat Pemberian Vaksin yang ditempatkan di Stadium Indera Mulia di sini. - Bernama