ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyambut baik penguatkuasaan Akta Koperasi (Pindaan) 2021 (A1634) menggantikan Akta Koperasi 1993 (Akta 502) bermula pada 1 Mac 2021.
Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, pindaan itu dilihat akan memperkukuh kedudukan koperasi sebagai institusi yang memainkan peranan besar dalam memperkasa kedudukan sosioeknomi masyarakat di negara ini.
Beliau berkata, pindaan itu amat bertepatan dalam langkah untuk meningkatkan penglibatan rakyat Malaysia dalam bidang keusahawanan koperasi berikutan ramai yang terkesan dari segi pendapatan akibat pandemik Covid-19.
"Antara yang menjadi perhatian melalui pindaan ini adalah syarat pendaftaran koperasi asas yang dipermudahkan di mana bilangan individu
bagi tujuan pendaftaran, telah dikurangkan daripada 50 orang kepada 20 orang sahaja.
"Pindaan ini memberi peluang kepada masyarakat atau komuniti yang berhasrat untuk memulakan perniagaan mengumpul modal secara bersama-sama menerusi penubuhan koperasi," katanya beliau dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan Akta Koperasi (Pindaan) 2021 (A1634) yang mula dikuatkuasakan Isnin lepas yang terpakai bagi semua koperasi yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Pindaan kepada Akta 502 ini diluluskan di Dewan Rakyat pada 17 Disember 2020 dan Dewan Negara pada 29 Disember 2020. Akta A1634 ini juga sudah mendapat perkenan diraja pada 26 Januari 2021 serta diwartakan pada 2 Februari 2021.
Abdul Fattah berkata, perkara mengenai pindaan ini telah diutarakan oleh perwakilan koperasi yang hadir ke Persidangan Kebangsaan Tahunan Angkasa (PKTA) yang berjumlah hampir 5,000 orang setiap tahun.
"Sudah tentu ianya disambut baik oleh semua koperasi kerana akhirnya permintaan mereka didengar. Kebenaran untuk menubuhkan koperasi dengan jumlah minimum 20 orang merupakan satu langkah proaktif bagi meningkatkan pertumbuhan dan penglibatan koperasi dalam pelbagai sektor ekonomi," katanya.
Kata beliau lagi, pindaan ini masih boleh ditambah baik pada masa hadapan kerana jika dibandingkan dengan negara-negara lain, ianya masih tinggi.
"Sebagai contoh negara seperti United Kingdom, Canada, German dan Sweden mensyaratkan bilangan minimum tiga (3) orang sahaja untuk menubuhkan koperasi. Ini memudahkan masyarakat terutamanya golongan belia memulakan perniagaan atau ‘startup’ menerusi platform
koperasi," katanya.
Selain itu katanya, kemudahan bagi koperasi untuk mendapatkan pembiayaan daripada mana-mana institusi kewangan di bawah seliaan Bank Negara Malaysia dan koperasi yang ditentukan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) tanpa perlu mendapatkan kelulusan SKM
merupakan langkah positif dan keterhadapan kerajaan yang mampu membantu koperasi untuk memulihkan operasi perniagaan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 serta membolehkan koperasi bergerak dengan lebih efektif dalam memperluas perniagaan.
"Saya mewakili kepimpinan tertinggi Angkasa dan 14,668 buah koperasi dengan keanggotaan 6.1 juta orang mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak kerajaan terutamanya kepada Medac kerana usaha beliau membawa pindaan Akta 502 ini dapat direalisasikan.
"Saya yakin dan percaya, pindaan ini akan meningkatkan kapasiti dan keupayaan gerakan koperasi sebagai penyumbang berkesan kepada pembangunan sosioekonomi negara demi kesejahteraan anggotanya dan masyarakat," katanya.