Penduduk bimbang tebing longkang runtuh

Iklan
Syed Othman (dua, kanan) dan penduduk setempat menunjukkan keadaan tebing runtuh yang berlaku di Jalan Ketapang 9, Taman Rinting Pasir Gudang hari ini. - Foto Bernama

JOHOR BAHRU - Penduduk di Jalan Ketapang 9, Taman Rinting, di sini, bimbang terhadap keselamatan mereka selepas tebing longkang di laluan masuk jalan itu runtuh sejak kira-kira empat bulan lepas.

Seorang penduduk, Mohamad Ashraf Mat Jusoh, 27, berkata, keadaan tebing yang runtuh sedalam tiga meter itu menyebabkan penduduk perlu berwaspada ketika menaiki kenderaan lebih-lebih lagi pada waktu malam.

Iklan
Iklan

Katanya, lokasi kejadian terbabit yang berhadapan dengan sebuah sekolah rendah juga menambah kerisauan ibu bapa walaupun pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sudah meletakkan penghadang.

"Kita sebagai penduduk risau keselamatan anak-anak sebab tebing ini tinggi, takut terjatuh dan cedera.

Iklan

"Jika orang yang memandu kenderaan tidak biasa lalu kawasan ini, dikhuatiri akan melanggar kon penghadang dan terjatuh ke tebing...lebih-lebih lagi apabila malam, ia berbahaya,” katanya yang ditemui pemberita di lokasi tebing tersebut, hari ini.

Sehubungan itu, Mohamad Ashraf berharap MBJB dapat melakukan pembaikan segera bagi mengelakkan keadaan lebih buruk.

Iklan

Sementara itu, Presiden Pusat Aduan Rakyat Pasir Gudang, Syed Othman Abdullah berkata, kejadian sama pernah berlaku tidak jauh dari lokasi tersebut, kira-kira dua tahun lepas.

"Dipercayai tebing ini runtuh disebabkan air melalui saluran paip yang keluar ke longkang ini tersumbat sekali gus menyebabkan tebing sedalam tiga meter ini boleh runtuh,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah menghubungi MBJB untuk mengetahui perkembangan lanjut berhubung kejadian itu dan dimaklumkan bahawa ia masih dalam proses peringkat kejuruteraan.

"Kita faham pihak MBJB akan ambil masa untuk lalui proses tender dan sebagainya tetapi berdasarkan aduan-aduan diterima, saya harap ia dapat dipercepatkan.

"Ïni kerana kita mahu mengelakkan insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya yang turut mahu Ahli Majlis di kawasan itu memainkan peranan dan mengambil tindakan sewajarnya bagi membantu penduduk. - Bernama