SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Lebih 700 pengunjung menghadiri Hari Kesihatan dan Keselamatan Pekerja Karangkraf 2019 yang diadakan di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini.
Program yang julung kali diadakan itu dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti antaranya ceramah kesihatan, derma darah, pemeriksaan kesihatan percuma dan kehadiran pelbagai agensi kerajaan serta swasta yang turut membuka reruai pameran.
Lebih menarik, para pengunjung turut berpeluang menyaksikan demostrasi oleh Unit Perkhidmatan Rawatan Pra Hospital dan Ambulan, Jabatan Kecemasan Dan Trauma, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang mengenai cara-cara atau kaedah betul bagi memberi bantuan awal kecemasan.
Antara pempamer yang mengambil bahagian adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Kesatuan Kebangsaan Penolong Pegawai Perubatan Semenanjung Malaysia Cawangan Perak dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
Selain itu, agensi lain yang turut terlibat ialah Hospital Shah Alam, Ascencia Diabetis Care, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Prudential, Coffezone, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), CPS Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pada program tersebut sebut, seramai 27 orang ahli Kesatuan Kebangsaan Penolong Pegawai Perubatan Semenanjung Malaysia Cawangan Perak berpeluang untuk mengadakan lawatan dan melihat sendiri proses penerbitan bahan bacaan termasuk Al-Quran.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Kecemasan yang juga Pakar Perunding Kecemasan HTAR Klang, Dr Ahmad Tajuddin Mohamad Nor berkata, usaha yang dilakukan Karangkraf itu perlu dicontohi pihak lain bagi memberi pendedahan kepada kakitangan untuk sentiasa mementingkan kesihatan diri.
"Berdasarkan rekod hospital, masalah penyakit kardiovaskular atau penyakit berkaitan jantung menunjukkan peningkatan membimbangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
"Antara faktor yang menyumbang kepada penyakit ini adalah disebabkan gaya hidup dan pemakanan yang tidak sihat. Jadi ia sangat bertepatan dengan usaha yang dilakukan Karangkraf ini,” katanya ketika ditemui sebaik selesai merasmikan program tersebut.
Turut hadir pada majlis tersebut, Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Penolong Pegawai Perubatan Semenanjung Malaysia Cawangan Perak, Zulfikar Mohamed Khawari dan Pengurus Kanan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Karangkraf, Hashim Anang.
Sementara itu, hampir 100 orang tampil menderma darah untuk mengisi tabung darah HTAR bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan darah.