UMNO sah tamatkan kerjasama dengan Bersatu

Iklan
Laporan Sinar Harian pada 19 Februari lalu.

SHAH ALAM - UMNO mengesahkan parti itu menamatkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai keputusan akhir tanpa sebarang rundingan lanjut.

Sinar Harian difahamkan keputusan itu dibuat berdasarkan hasil mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) di Janda Baik, Pahang baru-baru ini.

Iklan
Iklan

"Namun berkenaan surat, kita tidak dimaklumkan apa-apa. Tapi boleh dikatakan tindakan UMNO (memutuskan hubungan) dengan Bersatu ini adalah keputusan akhir.

"Barisan Nasional (BN) akan bertanding sendiri,” menurut sumber kepada Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Malaysiakini pada Rabu juga melaporkan UMNO telah menghantar surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memaklumkan keputusan untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Laporan itu menyebut, sumber dalaman UMNO mengesahkan bahawa surat pemakluman itu telah dihantar kepada Muhyiddin yang juga presiden Bersatu pada 26 Februari lalu.

Iklan

Bagaimanapun, belum ada maklum balas berhubung surat berkenaan sehingga kini.

Sumber Sinar Harian menambah, UMNO bagaimanapun tidak memutuskan hubungan dengan Pas dan masih berpegang pada Muafakat Nasional (MN).

"Pembahagian kerusi pada PRU15 nanti tak akan ada kerjasama dengan Bersatu tapi Pas kena kerjasama dengan MN, bukan ikut Bersatu,” katanya.

Jelas sumber itu lagi, tindakan UMNO memutuskan tindakan tersebut adalah berpunca daripada Bersatu yang dilihat menekan dan tidak melihat UMNO sebagai rakan politik.

"UMNO tidak membuat keputusan ini secara terburu-buru tapi ada perkara dan tindakan yang dibuat Bersatu menunjukkan mereka tidak mahu bersahabat dengan UMNO,” katanya.

Sumber turut menyebut bahawa wujud tangan-tangan ghaib dalam PN yang mahu melihat UMNO jatuh termasuk isu melibatkan rayuan kes mahkamah sedangkan UMNO telah disahkan tidak bersalah di peringkat mahkamah tinggi.