BIMB Investment lancar dana unit amanah wakaf

Iklan

BIMB Investment Management Berhad (BIMB Investment) melancarkan dana unit amanah wakaf inovatif yang menggabungkan prinsip Shariah dan pasaran.

Dana Makmur myWakaf diperkenalkan anak syarikat milik penuh Bank Islam Malaysia Berhad itu adalah dana Unit Amanah Wakaf pertama dilancarkan di bawah Rangka Kerja Dana Bercirikan Wakaf Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang diperkenalkan pada 12 November 2020.

Iklan
Iklan

Ia juga adalah sebuah Dana Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab di bawah Garis Panduan Dana Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab SC.

BIMB Investment adalah syarikat pengurusan dana yang pertama untuk merancang dan membina sebuah dana unit amanah wakaf, seterusnya membuka satu dimensi pelaburan baru ke dalam industri pengurusan dana di Malaysia.

Iklan

Pengerusi BIMB Investment, Mohamed Ridza Mohamed Abdulla berkata, produk ini mempunyai keunikan di dalam ciri-cirinya kerana ia menggabungkan prinsip-prinsip yang berasaskan shariah untuk kemajuan masyarakat.

Mohamed Ridza bin Mohamed Abdulla

"Selain kewangan sosial, tumpuan dalam penjagaan kesihatan, pendidikan dan pemerkasaan masyarakat sambil memberikan pulangan pelaburan bagi pelabur telah menjadikan dana ini benar-benar inovatif," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Dana Makmur myWakaf adalah sesuai bagi pelabur yang ingin menyalurkan sebahagian daripada pulangan mereka untuk tujuan wakaf kepada masyarakat yang kurang bernasib baik di dalam sektor-sektor yang difokuskan di Malaysia.

Dana Makmur myWakaf berpotensi untuk mengagihkan pendapatan bulanan, tertakluk kepada ketersediaan pendapatan, di mana 50 peratus pengagihan pendapatan itu disalurkan untuk tujuan wakaf melalui inisiatif myWakaf Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM).

Laporan Aset Wakaf Pertengahan Tahun akan dipaparkan di dalam laporan interim dan tahunan Dana, di mana Pemegang Unit akan dimaklumkan mengenai pengedaran Aset Wakaf.

Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Holdings Berhad dan Bank Islam Malaysia Berhad, Mohd Muazzam Mohamed berkata, pelancaran Dana Makmur myWakaf sejajar dengan visi dan misi Bank Islam di dalam agenda kewangan sosialnya.

"Kini, dengan Dana Makmur myWakaf, rakyat Malaysia mempunyai akses kepada instrumen wakaf di dalam bentuk pelaburan dan pada masa yang sama menyumbang kepada pembangunan sosial dan masyarakat di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif, BIMB Investment, Najmuddin Mohd Lutfi berkata Dana Makmur myWakaf, dibina untuk mendorong pertumbuhan segmen kewangan sosial Islam tempatan.

Najmuddin Mohd Lutfi

"Ini sejajar dengan matlamat BIMB Investment untuk meggabungkan objektif sosial ke dalam pelaburan runcit untuk memberikan manfaat kepada masyarakat.

"Kami percaya bahawa wakaf mempunyai potensi besar dalam membangunkan ekonomi dan menghasilkan kesan positif dan lestari secara keseluruhan terhadap ekonomi, komuniti dan persekitaran Malaysia,” katanya.

Dana Makmur myWakaf ditawarkan di dalam Ringgit, Dollar AS (USD) dan Dollar Australia (AUD) dengan harga tawaran awal 25 sen/cent seunit dengan pelaburan awal minimum RM200, USD200 dan AUD200, tambah Najmuddin.

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai Dana, sila hubungi 1-800-88-1196 atau layari www.bimbinvestment.com.my