KUALA LUMPUR - Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) secara rasminya menamakan kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak yang telah lama dinantikan sebagai Ativa.
SUV baharu itu dilancarkan oleh Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin yang disiarkan secara langsung di platform media sosial malam Rabu dengan pautan kepada laman mikro untuk pengalaman yang interaktif dan memberi penonton akses kepada lebih banyak maklumat.
Harga Ativa bermula daripada RM61,500 bagi varian X atas jalan sebelum insurans di Semenanjung Malaysia, RM66,100 bagi varian H dan RM72,000 bagi varian AV utama.
Pengeluar kereta kompak itu turut menyasarkan untuk menghantar secara purata sebanyak 3,000 unit sebulan bagi SUV baharu dengan lima tempat duduk itu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad sebelum ini berkata, Ativa merupakan model pertama di bawah rangka tindakan Perodua Smart Build, merintis kejayaan Perodua bagi gaya, keselamatan, teknologi, tahap dan nilai peralatan.
Zainal berkata, Ativa merupakan kenderaan cas turbo pertama Perodua dan model Perodua yang pertama menggunakan transmisi boleh laras berterusan (CVT), menyumbang kepada kecekapan bahan api 18.9 kilometer (km) per liter (L).
"Model kenderaan cekap tenaga (EEV) Perodua yang kelima ini mempunyai enjin turbo 1.0L tetapi prestasinya sama dengan 1.5L dengan kecekapan bahan api yang tinggi.
"Enjin yang kecil tidak semestinya tidak baik atau tidak bertenaga,” katanya pada sesi soal jawab selepas pratonton media eksklusif dan memandu uji model tersebut, anjuran syarikat itu di ibu pejabat Perodua di Rawang pada 23 Februari.
Zainal berkata, sasaran penjualan bulanan konservatif sebanyak 3,000 unit itu merupakan angka yang ideal memandangkan syarikat itu tidak menjangka persaingan utama daripada model lain seperti Aruz dan Myvi kerana ia memenuhi semua segmen pasaran yang berbeza.
Dibina menggunakan suspensi dan ‘underbody’ yang baru dibangunkan dikenali sebagai platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), Perodua berkata Ativa mempunyai badan yang lebih ringan dan lebih kuat, keselamatan pelanggaran yang dipertingkatkan, prestasi bunyi dan getaran yang ditambah baik dan penyesuaian yang tinggi untuk teknologi masa depan.
Teknologi keselamatan terkininya antara penekanan terbesarnya, dengan sistem brek kecemasan autonomi dan kawalan pengekalan lorong (LKC) menjadi penawaran yang standard untuk seluruh rangkaiannya.
Zainal berkata penglibatan Perodua dalam pembangunan Ativa bermula daripada papan lukisan dengan seramai 54 pereka dan juruteranya bekerjasama dengan Daihatsu bagi model itu sejak tahun 2018.
"Setakat ini, kami telah menerima kira-kira 5,000 tempahan bagi Perodua Ativa sejak ia dibuka untuk tempahan pada 19 Februari. Kami mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia di atas sokongan mereka.
"Penghantaran akan bermula esok (4 Mac), dan kami menyasarkan untuk menghantar sebanyak 3,000 unit sebulan secara purata,” kata Zainal dalam satu kenyataan. - Bernama