Kesejahteraan negara, warga ATM jadi keutamaan

Iklan
Ismail Sabri ketika wawancara Pencapaian Malaysia Prihatin Kementerian Pertahanan Malaysia di Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur Foto: Asril Aswandi Shukor.

[MUKADIMAH] Menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Pertahanan yang juga merupakan Menteri Kanan (Keselamatan) ketika negara mula berdepan dengan ancaman pandemik Covid-19 sememangnya bukan tugas yang mudah.

Namun, sikap tenang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengendalikan sidang akhbar hampir saban hari sejak setahun lalu sehingga kini membuatkan rakyat cukup yakin dengan kemampuan kerajaan dalam mendepani krisis global itu.

Iklan
Iklan

Selain memberi tumpuan kepada usaha untuk memerangi ‘musuh yang tidak kelihatan’, Ismail Sabri yang merupakan Ahli Parlimen Bera tidak sesekali melupakan peranan hakikinya menjaga kesejahteraan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ikuti wawancara mengenai Pencapaian Malaysia Prihatin bersama Ismail Sabri atau lebih popular dengan gelaran ‘Pak Long Mail’ bagi mengetahui harapan dan perancangan beliau untuk terus mengangkat warga tentera yang menjadi benteng pertahanan negara.

Iklan

SINAR HARIAN: Setahun menerajui Kementerian Pertahanan, apakah kejayaan besar yang telah dicapai?

ISMAIL SABRI: Selepas setahun, kejayaan besar kita adalah kemampuan ATM untuk terus menjaga keselamatan dan kedaulatan negara. Setakat ini, tidak ada isu berkaitan dengan keselamatan dan kedaulatan negara kita. Walaupun ada timbul isu di Laut China Selatan dan sebagainya tetapi semuanya dapat diselesaikan dengan cara yang baik.

Ismail Sabri ketika wawancara Pencapaian Malaysia Prihatin Kementerian Pertahanan Malaysia di Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur -Foto: Asril Aswandi Shukor.

Iklan

Kita juga berjaya mengawal kawasan sempadan negara dengan baik. Jika kita lihat ancaman yang paling besar sekarang adalah di kawasan sempadan. Tanggungjawab untuk mengawal sempadan negara bukan sahaja digalas oleh pihak ATM, tetapi bersama dengan agensi-agensi yang lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Agensi Keselamatan Sempadan (AKSEM) dan sebagainya.

Kita berjaya menghalang pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI), menangkap tekong, merampas bos serta mengekang jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan manusia dan dadah.

- Bagaimana aspek kesiapsiagaan negara dari sudut pemerkasaan aset-aset pertahanan?

Kita sentiasa pertingkatkan kesiapsiagaan kita. Pada tahun lalu, kita berjaya menambah aset baharu tentera, antaranya bot pemintas pantas, helikopter MD530G dan meriam. Kita sedang menambah baik dasar dan tindakan bagi kawalan sempadan. Sebagai contoh di Sabah, pesisir pantainya sejauh beribu kilometer dan tidak mungkin kita mampu menjaga setiap inci.

Jadi, kita akan memperbanyakkan kenderaan tanpa pemandu seperti dron kerana banyak kehadiran PATI adalah dari negara jiran. Di sempadan utara Semenanjung, dari Kedah hingga Kelantan juga beribu-ribu kilometer, jadi peralatan seperti kamera litar tertutup dan radar akan ditambah dari masa ke masa.

Di sempadan Kedah dan Thailand, kita akan mewujudkan pos bersama antara kedua-dua negara iaitu secara bersebelahan bagi membolehkan kita berkongsi maklumat dan kawalan sempadan, termasuk dengan Indonesia. Setakat ini, kita mempunyai 55 dron, namun masih tidak cukup. Kita akan membuat penambahan pada tahun ini dan bekerjasama dengan PDRM. Bagi memperkukuhkan kawalan, kita akan menambah 19 lagi pos sempadan di Sabah dan Sarawak, berbanding 17 ketika ini.

- Menyentuh mengenai kebajikan untuk warga pertahanan, apakah usaha-usaha atau pelaksanaan yang telah dibuat pada tahun lalu?

Antara program kesejahteraan warga pertahanan yang telah kita laksanakan ialah Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT). Bagi pelaksanaan tahun lepas, kita telah membina 223 unit RKAT di Kem Semenggo, Sarawak. Selain itu, 23 kontrak sewaan berkelompok RKAT di seluruh negara merangkumi 2,171 unit rumah kediaman.

Kita juga telah menaik taraf RKAT yang mempunyai dua bilik kepada tiga bilik atau lebih melalui Program 2 To 1. Setakat ini, RKAT yang telah siap dinaiktaraf adalah sebanyak 40 unit, manakala yang masih dalam pembinaan adalah sebanyak 36 unit dan dalam perancangan ialah 208 unit.

ATM memerlukan 35,000 unit rumah bagi memenuhi keperluan anggota. Untuk tahun ini Kementerian Pertahanan diperuntukkan sebanyak RM500 juta bagi membina 1,000 unit RKAT baharu. Selain itu, Kementerian juga berusaha untuk memenuhi keperluan RKAT ini lebih awal dengan tidak hanya bergantung dengan kewangan kerajaan semata-mata. Oleh itu, kementerian turut menggunakan pendekatan kerjasama awam swasta termasuk kaedah land swap dan inisiatif pembiayaan swasta.

Kita juga mempunyai tiga perancangan perolehan sewaan sejumlah 364 unit RKAT di Pahang, Kuala Lumpur dan Sabah. Selain itu, kita juga akan memberi fokus kepada program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) di mana program ini telah dilaksanakan pada tahun lalu. Tahun lalu kita telah membuat pelancaran bagi pembinaan perumahan SASaR Sungai Besi sebanyak 3,500 unit yang berharga antara RM150,0000 hingga RM250,000 seunit dan dijangka siap pada tahun 2024.

- Bagaimana dengan aspek pendidikan untuk anak pegawai atau anggota tentera?

Antara inisiatif pendidikan yang kita laksanakan ialah mewujudkan kuota 30 peratus bagi kemasukan anak warga pertahanan serta veteran ATM ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) ATM-Bera di Pahang.

Kita turut menyediakan kuota sebanyak 20 peratus untuk anak warga pertahanan serta veteran ATM untuk memasuki Maktab Tentera Diraja (MTD).

Selain itu, sebanyak 10 peratus kuota khas turut diberikan kepada lepasan MTD untuk memasuki Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) tertakluk kepada pematuhan syarat minimum kemasukan yang telah ditetapkan.

- Kalau kita bercakap mengenai Kementerian Pertahanan, tidak akan lengkap jika tidak menyentuh mengenai veteran tentera. Apakah usaha yang dilakukan untuk membantu golongan ini?

Kita tidak sesekali melupakan golongan veteran. Antara kebajikan yang kita lakukan untuk mereka adalah pembayaran Elaun Kenangan secara one-off kepada 121,816 Veteran ATM penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) melibatkan peruntukan sebanyak RM60.9 juta.

Selain itu, mengagihkan RM100.62 juta Bayaran Khas Kewangan (BKK) Prihatin Nasional 2020 kepada 201,253 Veteran ATM tidak berpencen. Turut diberikan ialah Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri kepada 128,129 Veteran ATM melibatkan peruntukan sebanyak RM32.03 juta.

Kita juga memperkenalkan Bantuan Veteran ATM terlantar dan Kad Kesihatan Pesakit Luar di Klinik Swasta dan Veteran ATM. Memperhebat Program Cakna Veteran ATM iaitu lawatan kebajikan ke atas veteran ATM sekali gus menyampaikan bantuan yang sewajarnya.

Peperangan pada zaman kini bukan lagi dalam bentuk fizikal semata-mata tetapi dalam bentuk siber. Bagaimanakah kementerian mendepani cabaran alaf baharu ini?Perang siber ini lebih berbahaya daripada perang fizikal, jadi kita turut melengkapkan diri dengan pertahanan siber. Kita sudah ada Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) untuk pertahanan siber.

Ismail Sabri ketika wawancara Pencapaian Malaysia Prihatin Kementerian Pertahanan Malaysia di Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur -Foto: Asril Aswandi Shukor.

Kita juga bekerjasama dengan negara jiran dan di peringkat antarabangsa bagi menangkis serangan siber. Kita turut bekerjasa- ma dengan agensi dalam negara seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Pusat Keselamatan Siber Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

Bagaimanapun, kita masih memerlukan kewangan yang besar untuk mempertingkatkan pertahanan siber ini. Dengan kemudahan yang ada setakat ini, kita tidak terbabit dengan serangan, termasuk melalui ancaman daripada ‘Anonymous Malaysia’ baru-baru ini, namun masih berisiko untuk diceroboh.

- Bagaimana keberkesanan Op Benteng sepanjang tempoh pandemik Covid-19 ini?

Matlamat utama Op Benteng untuk mengawal sempadan negara dari dibolosi PATI dan mencegah jenayah rentas sempadan. ATM berkerjasama baik dengan agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan lain dalam menjalankan kawalan di sempadan secara bersepadu.

Sejak 1 Mei 2020 hingga 28 Februari lalu, seramai 12,121 PATI dan 922 tekong telah ditahan. Kita juga merampas 322 bot atau kapal dan 1,469 kenderaan darat. Kita mengusir 1,299 PATI, sembilan tekong dan 616 bot, dengan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM307 juta.

Statitik dan data yang saya umumkan setiap hari ini jelas menunjukkan keberkesanan penguatkuasaan hasil kolaborasi bersama melalui Op Benteng ini.