GEORGETOWN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang telah mengenal pasti punca kebakaran pada kabel elektrik di Jambatan Pulau Pinang yang terbakar pada Isnin minggu lalu.
Pengarahnya, Saadon Mokhtar berkata, laporan siasatan berhubung kes itu telah siap dan akan diserahkan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada Khamis (hari ini).
Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut mengenai punca kebakaran berkenaan.
"Tiada unsur khianat yang dikenal pasti ketika ujian makmal dijalankan. Mengenai punca (kebakaran), biar TNB yang dedahkan," katanya," katanya ketika ditemui di Klinik Kesihatan Jalan Perak di sini pada Khamis.
Semalam, Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengesahkan tempoh untuk membaik pulih sepenuhnya kabel tersebut dijangka memakan masa selama 119 hari.
Menurutnya, TNB telah bekerjasama dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) melantik kontraktor untuk menjalankan kerja membaik pulih tersebut.
Dalam kejadian pada jam 4 petang Isnin, kebakaran di Kilometer 3.2 Jambatan Pulau Pinang melibatkan kabel 132kV dari Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Tengah ke Bayan Mutiara menyebabkan keadaan trafik di atas jambatan tersebut sesak.
Bomba bersama Pasukan Tindakan Kecemasan Jambatan Pulau Pinang terpaksa menggunakan bot ke lokasi kebakaran untuk memadam api dari bawah berikutan ia melibatkan kabel elektrik di bawah jambatan terbabit.
Susulan kejadian itu, Jambatan Pulau Pinang disahkan masih selamat digunakan oleh pengguna jalan raya.
Pengendali Jambatan Pulau Pinang, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memberi jaminan itu bahawa keseluruhan struktur jambatan tersebut masih kukuh untuk digunakan selepas kejadian tersebut.