KLANG - Mahu menarik perhatian. Itu antara alasan penunggang motosikal yang mengubah suai kenderaan mereka dengan menggunakan ekzos bising.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, alasan itu diberi penunggang motosikal yang ditahan pihaknya susulan Op Khas Pengubahsuaian Ekzos oleh sepasukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sekitar daerah ini, pada Rabu.
Menurutnya, operasi bermula jam 10 pagi telah menahan 10 penunggang motosikal atas kesalahan pengubahsuaian ekzos.
"Polis telah menyita kesemua motosikal terbabit jenis Yamaha 135LC, Honda Wave, Yamaha RXZ, Yamaha 125Z dan Yamaha Y15ZR.
"Tindakan telah diambil di bawah Kaedah 103 Kaedah-kaedah kenderaan bermotor (Pembinaan Dan Penggunaaan) 1959 (LN170/1959) dan Seksyen 48A (1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata, pelbagai alasan mengubah suai ekzos motosikal diberikan penunggang berkenaan, antaranya adalah bagi menarik perhatian pengguna jalan raya lain, trend dalam kalangan remaja, berlumba haram, menambah kelajuan selain ekzos itu yang mudah diperoleh.
"Terdapat beberapa kesalahan lain dikesan pada motosikal terbabit iaitu menggunakan nombor plat fancy, tiada cermin sisi, tiada nombor pendaftaran serta ubah suai peralatan," katanya.
Dalam pada itu, operasi yang tamat pada jam 6 petang itu telah mengeluarkan 204 saman antaranya had laju (133), tiada lesen memandu (6), tiada cermin sisi (10) dan lain-lain hasil pemeriksaan 85 buah kenderaan.
Tegasnya, pihaknya mengingatkan tiada amaran atau nasihat diberi kepada penguabahsuaian komponen ekzos kenderaan.
"Semua pemilik kenderaan khasnya pemilik motosikal tidak dibenarkan melakukan ubah suai komponen kenderaan terutama ekzos yang mengeluarkan bunyi bising sehingga mengganggu ketenteraman awam," katanya.