SEREMBAN - Polis berjaya menahan enam individu termasuk seorang wanita warga Vietnam yang disyaki terlibat dengan aktiviti penyeludupan pelbagai jenis dadah bernilai RM932,288.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohammad Mat Yusop berkata, kesemua suspek ditahan dalam empat siri operasi pada 28 Februari dan 1 Mac lalu, di sebuah resort dekat Port Dickson dan dua premis di Melaka.
Mohammad berkata, pihaknya berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 25.8 kilogram (kg), ketamin (24.90 gram), pil ekstasi dan pil eramin 5 masing-masing dengan berat 1 gram, yang mana nilai keseluruhannya adalah RM932,288.
"Pada 28 Febuari lalu, melalui rondaan cegah jenayah Op Covid-19 di Jalan Sua Betong, Port Dickson, polis telah menahan sebuah kereta jenis Volkswagen yang dipandu seorang lelaki dan menemui dadah jenis syabu dengan anggaran berat 801 gram.
"Lanjutan tangkapan tersebut, pada Isnin lalu, pasukan kita telah membuat serbuan di sebuah rumah di kawasan Glory Beach Resort dan berjaya menahan pasangan kekasih serta merampas syabu yang dibungkus dengan plastik bertulis teh wangi dengan berat 23kg, ketamin (20 gram), eramin 5 dan ekstasi seberat 1 gram.
"Hasil siasatan, mereka telah tinggal di rumah resort itu sejak tiga bulan lalu, dan menjadikan resort itu sebagai stor menyimpan barang-barang," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, di sini pada Khamis.
Tambahnya, antara barang yang dirampas adalah sepucuk pistol tiruan, kelopak peluru, dan satu peket plastik lutsinar mengandungi bebola besi.
Mohammad berkata, pihaknya turut menyita harta rampasan bernilai RM83,835 termasuk lima kenderaan yang digunakan oleh suspek untuk melakukan kegiatan jenayah.
Katanya, lanjutan tangkapan di Port Dickson itu, pihak polis membuat serbuan secara berasingan di dua rumah di Melaka, dan berjaya menahan tiga lelaki serta merampas syabu seberat 1816.4 gram dan ketamin seberat 4.9 gram.
Mengulas lanjut katanya, kesemua yang ditahan berusia antara 30 hingga 54 tahun, serta mempunyai rekod lampau membabitkan dadah dan jenayah.
"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.