PRU15: Calonkan lebih ramai orang muda

Iklan
Aswanudin

IPOH - Majlis Belia Negeri (MBN) Perak menggesa semua parti politik meletakkan lebih ramai calon muda bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) agar faktor usia tidak lagi dijadikan alasan untuk Parlimen tidak bersidang.

Presidennya, Aswannudin Hariffudin berkata, perkara itu amat wajar dipertimbangkan selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberi alasan Parlimen tidak boleh bersidang kerana mengambil kira faktor kesihatan ahli Parlimen yang berusia.

Iklan
Iklan

Menurutnya, berdasarkan data yang dikeluarkan itu, seramai 100 ahli Parlimen terdiri daripada 77 orang berusia 61 hingga 69 tahun, 19 orang berusia 70 hingga 79, manakala empat orang berusia 80 tahun ke atas.

"Keadaan ini sebenarnya membuktikan segala kegusaran dan perjuangan generasi muda khususnya di dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia adalah berasas. Golongan generasi baharu telah menyatakan kesediaan untuk menggalas tugas dan tanggungjawab membina negara secara bersama.

Iklan

"Ini juga membuktikan keperluan untuk meletakkan sasaran negara yang seimbang sekurang-kurangnya 70 peratus ahli Parlimen perlulah diisi atau diwakili oleh golongan generasi baharu," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Takiyuddin bahawa kerajaan memutuskan masih tiada lagi keperluan untuk sidang Parlimen diadakan ketika tempoh darurat.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan putus tiada keperluan adakan sidang Parlimen

Dalam pada itu, Aswannudin berkata, pemimpin politik harus melihat permohonan generasi baharu itu dari sudut positif memandangkan ia merupakan kehendak dan keperluan semasa negara.

Tambahnya, generasi baharu amat jelas dari sudut perjuangan dan memahami denyut nadi rakyat.

Beliau berkata, pengundi mahukan wakil rakyat yang boleh membela dan memperjuangkan untung nasib mereka di Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Jika kita menyentuh isu wakil rakyat yang melompat parti, majoritinya melibatkan pemimpin politik yang senior atau lama dalam politik tanah air. Amat jarang kita mendengar wakil rakyat daripada golongan muda yang melompat parti.

"Rakyat juga mahukan pemimpin politik yang bebas daripada kes pendakwaan di mahkamah dan pemimpin perlulah dalam kalangan yang berintegriti tinggi bebas rasuah," katanya.

Katanya, sudah sampai masanya parti-parti politik meletakkan keutamaan bagi calon-calon bertanding pada pilihan raya akan datang dalam kalangan orang muda untuk memberikan nafas baharu di dalam pentadbiran negara.