MELAKA - [DIKEMASKINI] Tindakan tiga individu menggunakan gelaran Datuk dan Datin palsu yang berselindung di sebalik pertubuhan Gabungan Datuk-Datuk Malaysia (GDDM) sejak dua tahun lalu akhirnya terbongkar.
Mereka ialah sepasang suami isteri berusia 43 dan 49 tahun serta seorang lelaki berusia 57 tahun menggunakan gelaran Datuk Panglima, Datin dan Datuk palsu yang didakwa diterima daripada Soltan Keradjaan Indragiri, Indonesia.
Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, bertindak atas maklumat awam dan risikan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen (JSJK) Melaka menahan ketiga-tiga mereka dalam serbuan di Bangi, Selangor pada 30 Januari lalu.
Menurutnya, tangkapan dilakukan susulan penganjuran Majlis Makan Malam Beradat Kolaborasi Pertubuhan Usahawan Elit Malaysia pada 29 Ogos tahun lalu di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah di sini yang turut dihadiri seramai 120 orang ahli.
Katanya, pemantauan yang dilakukan mendapati tetamu yang hadir ketika itu memakai pakaian istiadat serta darjah kebesaran Datuk dan menggunakan gelaran Datuk yang tidak diiktiraf.
"Siasatan mendapati majlis itu dianjurkan dan diketuai seorang ahli perniagaan lelaki berusia 43 tahun yang menggunakan gelaran Datuk Panglima manakala isterinya menggunakan gelaran Datin dan seorang individu lelaki menggunakan gelaran Datuk yang bertindak sebagai pegawai seranta.
"Ketiga-tiga suspek dipercayai menggunakan gelaran Datuk palsu ini bagi tujuan kepentingan tertentu termasuk mendapatkan pengaruh dalam perniagaan dan mengaburi tindakan pihak berkuasa," katanya ketika sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, dalam serbuan itu pihaknya turut merampas sijil watikah penganugerahan, surat Kesultanan Keradjaan Indragiri, lambang adat dan istiadat datuk, songkok berwarna hitam berlilit kuning, sehelai selempang merah dan sebagainya.
Menurut Abdul Majid, hasil semakan Bahagian Istiadat dan Urusetia Antarabangsa, Jabatan Perdana Menteri Putrajaya mendapati ketiga-tiga mereka tidak mempunyai rekod sebagai penerima Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Persekutuan (DKBPP) dan Darjah Kebesaran Bergelar Negeri (DKBPN).
"Kes disiasat di bawah akta kesalahan yang berhubung dengan anugerah 2017 (Akta 786).
"Melaka negeri pertama yang menjalankan siasatan di bawah seksyen berkenaan dan hanya penganugerahan di peringkat negeri kurniaan sultan, raja atau yang dipertua negeri boleh diiktiraf dan digunakan dalam urusan rasmi," katanya.