SHAH ALAM -"Dia kena bantailah. Apa lagi", kata seorang lelaki India kepada saksi keempat Inkues Kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, semasa insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, November lalu.
Amirul Hadi,26, berkata, beliau bertanyakan kepada beberapa individu yang mengangkat anggota bomba ke hadapan keretanya.
"Selepas seorang cakap bomba itu kena bantai, saya tanya lagi dengan beberapa orang mereka cakap tidak tahu apa-apa," katanya.
Menurutnya, sewaktu menyedari keretanya yang diparkir pada bahu jalan dilanggar oleh jentera bomba, dia dan rakannya bergegas lari melihat ke arah kenderaan.
"Sewaktu memeriksa kereta, dari jarak 40 meter, saya nampak seorang anggota berada dalam keadaan duduk dan kedua- dua kaki berlunjur ke hadapan sambil memeluk tubuh seolah-olah sedang mengalami kesakitan," katanya
Amirul berkata, selepas itu ada seorang menanyakan kepadanya sama ada dia boleh menghantar anggota bomba ke hospital atau tidak.
"Saya katakan pintu kereta sebelah pemandu tidak boleh dibuka kerana dilanggar jentera bomba," katanya.
Menurutnya, sewaktu anggota bomba dibaringkan di ruang kosong hadapan kereta yang diparkirnya, dia mendengar orang awam mengatakan anggota itu hampir pengsan.
"Saya jenguk sekejap nampak dia seperti nak pengsan," katanya.
Menjelaskan keberadaan di lokasi itu, pemuda itu berkata, dia dan rakannya dalam perjalanan ke rumah kawan di Putra Heights sekitar jam 12.30 pagi, pada 27 November.
"Kawan saya yang memandu kereta memberhentikan kenderaan di sebelah kiri bahu jalan selepas melihat sebuah kereta terbakar dan ramai orang berkumpul di persimpangan hadapan.
Kami keluar dan ke sebelah kanan bahu jalan untuk mengetahui apa yang berlaku," katanya.
Memerhati keadaan sekitar, Amirul berkata, dia melihat ratusan orang berada di situ.
"Ada yang berborak dan sebahagian daripada mereka sedang minum arak," katanya.
Katanya, beberapa minit selepas jam 1 pagi, sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) tiba untuk memadamkan kereta terbakar.
"Sebaik jentera bomba berhenti, ada seorang anggota bomba turun namun sekumpulan individu dari arah kuil menjerit menghalang bomba memadamkan kebakaran.
Mereka menuju ke arah FRT untuk menyerang dan saya nampak ada yang baling botol ke arah cermin jentera bomba itu.
Selain itu, ada seorang yang mencucuk cermin FRT dengan besi putih sehingga pecah," katanya.
Prosiding hari ketiga Inkues Kematian Muhammad Adib sedang berlangsung di hadapan Koroner, Rofiah Mohamad.
AKAN MENYUSUL