GEORGETOWN - Seramai 785 petugas barisan hadapan yang terdiri daripada pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang bakal menerima suntikan vaksin bermula pada Khamis.
Pengarahnya, Saadon Mokhtar berkata, jumlah itu telah didaftarkan dan akan disuntik secara berperingkat di lokasi yang ditetapkan.
Beliau yang merupakan individu pertama daripada JBPM Pulau Pinang menerima suntikan itu berkata, jumlah anggota dan pegawai tersebut merupakan kumpulan dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
"Jumlah keseluruhan anggota dan pegawai kita adalah 947, namun bagi fasa pertama ini, 785 daripadanya akan menerima suntikan vaksin dahulu. Bakinya akan menerima (suntikan) bagi fasa seterusnya.
"Suntikan vaksin ini memberikan kami sebagai barisan hadapan lebih keyakinan untuk bertugas dan berhadapan dengan orang awam. Ini kerana, kami tidak tahu dengan siapa kami berhubung ketika operasi menyelamat, mungkin ada antara mereka dijangkiti Covid-19," katanya ketika ditemui di Klinik Kesihatan Jalan Perak, di sini pada Khamis.
Saadon ditemui selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 yang mana, bagi fasa pertama itu, seramai 41 pegawai dan anggota JBPM Pulau Pinang termasuk beliau menerima suntikan tersebut di dua lokasi yang ditetapkan.
Mengulas mengenai suntikan tersebut, Saadon berkata, beliau tidak mengalami sebarang simptom selepas 15 minit menerima suntikan di klinik tersebut.
"Tidak ada rasa apa-apa, pening tak ada, macam biasa saja. Saya bersyukur kerana menjadi orang pertama dalam JBPM Pulau Pinang yang disuntik," katanya.
Beliau berkata, sejak penularan pandemik tersebut, tiada pegawai atau anggota JBPM Pulau Pinang disahkan dijangkiti Covid-19.
Selain bomba, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Aziz Abdul Majid, pegawai dan anggota polis serta Jabatan Penjara Pulau Pinang turut menerima suntikan vaksin Covid-19 di klinik sama.
Warden Penjara Reman Pulau Pinang, Farid Zainatulasraf Zainal Abidin, 23, berkata, dia gembira dan bersyukur selepas tergolong dalam fasa pertama untuk disuntik.
"Setiap hari saya berhadapan dengan banduan, semestinya saya bimbang walaupun semua warden perlu memakai peralatan pelindungan diri (PPE).
"Selepas ini (diberi suntikan), saya tak perlu bimbang lagi untuk pulang ke rumah. Sebelum ini, bimbang dengan keselamatan keluarga saya kerana tugas saya yang terdedah dengan banduan terutamanya yang baru masuk (penjara)," katanya.
Ends.