Portal Rumah Sewa bantu mahasiswa penginapan luar kampus

Iklan
Noraini Ahmad

SHAH ALAM - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melancarkan Portal Rumah Siswa bagi membantu mahasiswa yang tidak memperoleh kemudahan penginapan untuk mencari rumah sewa di luar kampus.

Portal terbabit ialah antara tiga inisiatif utama dalam Agenda Rumah Sewa Siswa, dibangunkan kementerian bagi menangani isu pengurusan dan keselamatan mahasiswa yang tidak tinggal dalam kampus.

Iklan
Iklan

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, portal itu juga berfungsi untuk memberi khidmat nasihat, memudahcara proses pencarian bilik atau rumah sewa dan mengekalkan harga sewa rumah pada kadar yang berpatutan.

Menurutnya, portal itu juga dapat memastikan wujudnya pangkalan data khusus di peringkat universiti berkaitan lokasi penginapan, kemudahan yang diperoleh, jarak terhadap akses kemudahan universiti dan paling penting aspek keselamatan pelajar luar kampus.

Iklan

"Sehingga 16 Februari lalu, sebanyak 1,250 buah rumah di seluruh negara telah didaftarkan di dalam Portal Rumah Siswa ini dan boleh diakses melalui pautan rumahsiswa.mohe.gov.my.

"KPT berharap agar pelajar luar kampus mendapat kediaman yang kondusif hasil akses capaian yang mudah dan pantas, selaras hasrat murni kerajaan untuk menjamin kesejahteraan pelajar di institut Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Noraini berkata, bagi memastikan inisiatif itu lancar, satu garis panduan pengurusan pelajar luar kampus yang komprehensif telah dibangunkan dengan kerjasama Majlis Perumahan Universiti-Universiti Awam Malaysia (Mapum).

Katanya, garis panduan itu dirangka meliputi lima aspek utama iaitu pembangunan pelajar luar kampus, perkhidmatan pelajar luar kampus, pengurusan kebajikan pelajar luar kampus, pengurusan rumah sewa dan jaringan masyarakat pelajar luar kampus.

"Bagi inisiatif pembangunan unit pengurusan pelajar luar kampus, KPT bersama 20 buah universiti awam telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan Unit Pengurusan Pelajar Luar Kampus (UPLK) yang berperanan sebagai pentadbir, penasihat, khidmat kaunseling perumahan dan pemantau kepada pelaksanaan program serta aktiviti pelajar luar kampus," katanya.