KUALA LUMPUR - Nasib seorang lelaki warga emas, Leong Choong Keong, 64, yang menginap di sebuah pondok dikelilingi semak sekitar Kampung Baru Salak Selatan sejak tiga tahun lalu mendapat perhatian Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.
Menurut Annuar, beliau mendapat maklumat mengenai nasib warga emas itu menerusi aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang yang mengetahuinya daripada aduan orang ramai.
Annuar berkata, beliau juga akan membantu meringankan beban warga emas terbabit dengan menanggung bayaran deposit dan sewa bulanan rumah tersebut.
"Saya dan Uncle Kentang telah menziarahi Keong di pondoknya pada Khamis lepas dan berjanji untuk mendapatkan tempat tinggal yang lebih baik.
"Hari ini kita dapat menyediakan satu unit rumah tiga bilik yang serba lengkap (fully furnished) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Salak Selatan bagi memastikan kehidupannya lebih selesa dan selamat," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan surat tawaran dan kunci kediaman kepada Keong di PPR Salak Selatan, di sini, pada Khamis.
Chee Heng pada Selasa mendedahkan masih ada individu yang tinggal dalam teratak usang berbumbung zink reput dan berdindingkan kain selimut dan plastik.
Chee Heng berkata, lebih menyedihkan, lelaki warga emas itu masih menggunakan kad pengenalan lama yang hampir reput.
Dalam pada itu, Annuar berkata, pihaknya juga dapat menjejaki dan mengumpulkan dua adik-beradik Keong yang lain untuk tinggal dalam satu rumah yang sama.
"Saya difahamkan dua adik-beradiknya itu juga susah dan merupakan golongan asnaf selain menghidap penyakit buah pinggang dan sedang menjalani rawatan dialisis," katanya.
Tambah Annuar, pihaknya akan menghulurkan bantuan dan menyelamatkan masyarakat yang dalam kesusahan dari masa ke masa.