PEKAN - Ibu kepada Siti Masitah Ibrahim bersumpah dengan menjunjung al-Quran tidak pernah menyimpan dendam dan tidak mengetahui apakah dendam antara suspek dan keluarganya sehingga anak ketiganya itu menjadi korban.
Solihah Abdullah, 35, berkata, dia sungguh terkejut apabila pegawai penyiasat memberitahu, suspek yang berusia 23 tahun yang dianggap seperti adik sendiri membunuh anaknya atas faktor dendam dengan keluarganya.
"Saya bersumpah atas nama al-Quran anak saya... demi ALLAH, saya tak pernah bergaduh dengan dia (suspek), sikit pun saya tak pernah simpan dendam dengan dia.
"Saya sangat terkilan dengan kenyataan dia, dahlah anak saya dibunuh sebegitu rupa (kejam) sanggup dia berkata sebegitu rupa... Hanya ALLAH SWT saja tahu perasaan saya yang sikit pun tak pernah berdendam dengannya," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kemahang di sini, hari ini.
Solihah berkata, dia kecewa dengan tindakan suspek kerana pada hari kehilangan Siti Masitah, dia ada bersama anaknya tetapi tidak mengaku.
"Dia dengan Siti Masitah naik motosikal secara terburu-buru walaupun ada penduduk kampung nampak mereka pada petang sebelum kehilangannya.
"Walaupun saya merayu, melutut di depan dia menangis-nangis, dia tetap berkeras tak mahu pulangkan anak saya, malah dia hanya kata tak tahu...semoga undang-undang dapat bagi balasan setimpal kepada dia," katanya.
Solihah berkata, Siti Masitah yang mesra dipanggil baby, meminta ibunya membeli al-Quran dan rehal untuk kemudahannya menghadiri kelas Fardhu Ain.
Demi untuk anaknya itu, Soliha membawa anak-anaknya termasuk Siti Masitah dan adiknya Muhammad Khairi Tarmizi, 9, ke bandar Pekan membelinya pada Pada 25 Januari lalu.
"Masa dapat tu, anak saya gembira sangat. Saya ingat lagi, dia cakap, 'Ya ALLAH, akhirnya aku dapat baca al-Quran yang mak aku beli'.
"Saya tak sangka, lepas beberapa hari dia baca al-Quran ini, dia pula hilang selepas itu," ceritanya.
Tidak hanya Solihah, perasaan rindu pada Siti Masitah turut dirasai anak bongsunya Mohd Khairi Tarmizi.
"Adik dia tak lalu makan, nampaklah dia sedih. biasa kalau mereka pergi mengaji, Siti la yang pimpin tangan adik, tapi sekarang...," ceritanya dalam nada sebak.
Ketika penulis merapati Mohd Khairi Tarmizi, kelihatan wajahnya sugul mungkin mengingatkan kakak yang telah tiada.
"Saya rindu kakak... kalau boleh saya nak dia hidup semula," katanya sambil menitiskan air mata.
Hati mana tidak meruntun hiba saat mengetahui kematian anak dalam keadaan begitu tragis.
Perkara itu difahamkan turut dialami bapanya, Ibrahim Ali yang trauma dengan nasib yang menimpa anak ketiganya itu.
Ibrahim juga tidak mampu menerima berita ini dan sering duduk seorang diri.
Dia kini hilang selera makan kerana terlalu rindukan anaknya itu.