KUALA LUMPUR - Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) memfokuskan pada aspek pengurusan trafik dalam siasatan terhadap insiden di projek pembinaan Sungai Besi-Ulu Klang Elevated Expressway (SUKE) pada Rabu yang menyebabkan dua wanita terbunuh.
CIDB dalam kenyataan pada Khamis memberitahu siasatan dibuat mengikut Seksyen 34B dan 34C Akta CIDB berkaitan kewajipan kontraktor dalam memastikan keselamatan bangunan dan kerja pembinaan sama ada semasa atau selepas kerja pembinaan dijalankan.
Jika didapati bersalah, kontraktor boleh didenda hingga RM500,000.
"Pengurusan trafik yang baik semasa kerja-kerja pembinaan sedang dijalankan adalah kritikal bagi memastikan ia tidak membahayakan pengguna lebuh raya,” kata Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir Ahmad ‘Asri Abdul Hamid dipetik oleh kenyataan itu.
Beliau berkata, CIDB memandang serius perkara itu dan bersedia bekerjasama dengan semua agensi berkaitan serta penggiat industri untuk menambah baik standard serta garis panduan sedia ada mengenai pengurusan trafik semasa kerja-kerja pembinaan dijalankan.
Menurut kenyataan itu, siasatan pasukan penguat kuasa CIDB di lokasi kejadian pada Rabu mendapati satu jentera Loader yang melalui Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala ke Ulu Klang melanggar kerangka keluli yang menyanggar platform crosshead.
Semasa pelanggaran, beberapa struktur kerangka keluli jatuh dan menghempap van pekerja yang menghala ke Sungai Besi
Kejadian kira-kira jam 6 petang itu menyebabkan dua wanita maut manakala dua lagi wanita serta seorang lelaki yang merupakan pemandu van tersebut, cedera. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu treler langgar perancah besi positif dadah
Dua pekerja maut van kilang dihempap struktur jejambat runtuh