Ku Li desak henti main wayang, putuskan hubungan dengan PN segera

Iklan
Tengku Razaleigh Hamzah - Foto fail Bernama

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mahu pemimpin UMNO untuk berhenti ‘main wayang kulit’ dan memutuskan hubungan dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan segera.

"Saya cadang Majlis Tertinggi UMNO segera mesyuarat, pinda keputusan mahu bersama kerajaan PN sehingga Parlimen dibubar.

Iklan
Iklan

"Silap perhitungan, putus hubungan dan keluar kerajaan PN sekarang. Berhenti main wayang kulit! Tidak ada faedah dan tidak ada kesan!

"Nasihat ikhlas saya kepada semua ahli UMNO yang berada dalam kerajaan dan GLC (syarikat berkaitan kerajaan), Muhyiddin dah ugut hendak buang kita, tunggu apa lagi, berhenti segera dan jaga maruah diri dan maruah parti UMNO,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Hari ini, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghantar surat berhubung pendirian parti itu kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Surat yang dikeluarkan setelah mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Janda Baik, Pahang itu menyatakan bahawa UMNO tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 dan parti itu hanya akan bekerjasama dengan PN sehingga Parlimen dibubarkan.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Sah UMNO putuskan hubungan dengan Bersatu

'Pendirian UMNO dibuat selepas permintaan Muhyiddin'

Dalam pada itu, Tengku Razaleigh menerusi satu kenyataan berasingan berkata, semua pihak diingatkan bahawa Perlembagaan Persekutuan mengikat semua pihak tanpa mengira sebarang status dan keistimewaan.

"Peguam yang membicarakan hak prerogatif berkaitan dengan sistem Perlembagaan di Malaysia sudah keliru dan tidak memahami bahawa Malaysia terikat dengan Perlembagaan, dan tidak ada hak prerogatif, sama ada dari segi sejarah atau Perlembagaan.

"Kedaulatan undang-undang dan pertanggungjawaban dalam menegakkan Perlembagaan tidak boleh dikompromikan dengan pertimbangan ekstra-Perlembagaan.

"Parlimen adalah nadi utama Perlembagaan dan tanpa Parlimen yang berfungsi, Perlembagaan tidak dapat berfungsi,” katanya.

Justeru, beliau berkata, sekiranya Parlimen tidak dapat menjalankan fungsinya yang sebenar maka perkara tersebut adalah tidak berpelembagaan.

"Dalam menilai apa-apa justifikasi untuk memprorog Parlimen, Yang di-Pertuan Agong harus peka terhadap tanggungjawab kepada negara.

"Perkara 55 Perlembagaan sangat jelas dalam tugas Perlembagaan Yang di-Pertuan Agong. Ia bukan fungsi, ia adalah tugas Perlembagaan dan tugas itu tidak boleh dikompromi.

"Perlembagaan menuntut agar Yang di-Pertuan Agong tidak boleh membiarkan Parlimen tidak bersidang selama enam bulan.

"Apa yang telah saya katakan tentang memprorog Parlimen tanpa sebarang justifikasi telah dibuktikan dalam keputusan Mahkamah Agung di United Kingdom baru-baru ini,” ujar beliau.