KEPALA BATAS - Hampir 30 khemah peniaga jalanan di Jalan Bertam di sini diterbangkan angin dalam kejadian ribut yang melanda di sekitar Kepala Batas di sini petang Khamis.
Kejadian yang berlaku jam 5 petang itu mengakibatkan banyak barang serta peralatan niaga bertaburan di atas jalan raya selepas hampir satu minit kawasan itu dibadai angin kuat.
Peniaga, Wan Mohd Mustaqim Wan Azizan, 33, berkata, ketika kejadian dia baharu sampai di rumah sebelum isterinya menghubungi memaklumkan mengenai kejadian itu.
Menurutnya, dia terus bergegas ke gerai tauhu bergedil yang diusahakan dan melihat keadaan kawasan berkenaan berselerak dan kecoh.
"Saya pulang sekejap ke rumah sebelum isteri menghubungi saya memberitahu tentang kejadian ribut.
"Bila sampai semua dalam keadaan kelam-kabut dengan kelihatan peniaga bergegas mengutip barang dan membersihkan tempat jualan masing-masing," katanya.
Wan Mohd Mustaqim berkata, kejadian ribut pernah berlaku sebelum ini, namun apa yang terjadi petang Khamis boleh dikatakan paling buruk kerana semua barang niaga miliknya rosak.
Katanya, isteri dan beberapa pekerjanya tidak sempat berbuat apa-apa berikutan kejadian itu berlaku secara tiba-tiba dan mereka hanya fikirkan mengenai keselamatan diri.
"Kami berniaga di kawasan ini sudah dua tahun dan pernah beberapa kali kejadian ribut berlaku.
"Walaupun terpaksa menanggung rugi, namun saya bersyukur isteri dan pekerja selamat," katanya.
Sebelum itu, tular di media sosial kejadian ribut yang berlaku dengan memaparkan suasana kecoh orang ramai dan peniaga menyelamatkan diri.
Selain itu beberapa khemah juga dilihat terbalik dan rosak selepas diterbangkan angin.
Dalam pada itu beberapa rumah di Jalan Paya Keladi di sini juga dilaporkan rosak akibat kejadian angin kencang yang berlaku petang Khamis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor mengesahkan kejadian berkenaan.
"Polis sedang mengumpul fakta berhubung insiden berkenaan untuk tindakan lanjut,” katanya.