UITM FC yakin dengan persediaan mereka untuk sepak mula Liga Super 2021 berhadapan Terengganu FC (TFC) di Stadium UiTM, Shah Alam Sabtu ini walaupun menghadapi gangguan dalam persiapan akibat pandemik Covid-19.
Penolong Ketua Jurulatih UiTM FC, Wan Mustafa Wan Ismail berkata, The Lions telah menjalani proses persediaan menerusi perlawanan persahabatan pramusim dengan menyertai kejohanan tiga penjuru Piala Bandaraya Shah Alam (PBSA 201).
"Latihan persediaan kami berjalan lancar, sebenarnya kami telah bermula awal iaitu sekitar November dan Disember tahun lepas. Pemain kami bersedia dan teruja menunggu pembukaan musim Liga Super 2021,” katanya.
"Kami mempunyai rekod pertemuan yang baik berhadapan TFC dalam Liga Malaysia, malah kami menang dalam pertemuan terakhir kami dengan jaringan 2-1. Kami berharap pemain kami akan dapat mengekalkan rekod dan momentum mereka kali ini, terutamanya bermain di tempat sendiri,” katanya ketika majlis pelancaran pasukan UiTM FC secara dalam talian pada Khamis.
Beliau berkata, UiTM FC amat berbanga kerana ketua jurulatih mereka, Frank Bernhardt menerapkan budaya bola sepak Jerman kepada pasukan itu, yang mengabungkan beberapa kualiti dan budaya untuk perkembangan bola sepak.
"Beliau bawa budaya baharu. Kita semua tahu Jerman adalah bekas juara dunia dan malah mempunyai pasukan yang hebat seperti Bayern Munich, Borussia Dortmund,” katanya.
Bercakap mengenai barisan pemain, Wan Mustafa menyatakan keseluruhannya terdapat lima pemain import termasuk penjaga gol baharu dari Crotia Dominic Picak, Abu Bakar La-Mel (Lubnan), Nana Poku (Ghana) dan Adam Michel Tull (Filipina).
Beliau berkata, Victor Nirenold dari Perancis dikekalkan sebagai ketua pasukan.
"Pemain tempatan pula, kita ada lapan pemain yang merupakan pelajar UiTM dan juga empat bekas pelajar,” katanya.
UiTM FC mencipta sejarah tersendiri apabila layak ke peringkat suku akhir Piala Malaysia, namun ia dibatalkan akibat pandemik Covid-19. - Bernama