KUANTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang merampas sebanyak 6,546 pakaian berjenama tiruan termasuk 436 pasang kasut bernilai RM107,000 hasil pemeriksaan dalam Ops Tiru sekitar Bandaraya Kuantan di sini pada Khamis.
Dalam operasi sekitar Stadium Darul Makmur dan Tanjung Lumpur itu, seorang peniaga berusia dalam lingkungan 30-an ditahan untuk diambil keterangan.
Barangan dirampas didapati mengunakan cap dagangan berdaftar yang dipakaikan secara salah ketika ditemui semasa pemeriksaan.
Pengarah KPDNHEP Pahang, Datuk Mark Ujin berkata, operasi disertai tiga pegawai bersama 12 anggota penguat kuasa itu bagi membanteras penjualan barangan tiruan dan aktiviti cetak rompak di pasaran negeri ini.
Menurutnya, ia bagi memastikan lambakan barangan tiruan di negara ini dapat dikawal di samping melindungi pengguna dan pihak industri pemilik cap dagangan yang berdaftar dibawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
"Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019.
"Jika sabit kesalahan, pihak terlibat iaitu perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang. Bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM30,000 setiap barang.
"Bagi individu, denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan berikutnya, denda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya melalui satu kenyataan pada Jumaat.
Mark berkata, dalam tempoh Januari hingga 31 Disember 2020, pejabat KPDNHEP Pahang menjalankan pemeriksaan terhadap 125 premis yang disyaki berurus niaga barangan tiruan dan cetak rompak di negeri ini.
"Daripada jumlah itu, enam kes dihasilkan dengan nilai rampasan sebanyak RM214,954 dan empat tangkapan.
"Di antara jenis barangan yang dirampas termasuk pakaian, beg tangan, dompet, jam tangan, kasut, aksesori telefon serta barangan aksesori wanita," katanya.
Beliau berkata, tiga kes telah dituduh di mahkamah dan disabitkan dengan kesalahan melibatkan denda berjumlah RM65,000.
"Pihak kementerian akan terus menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dan menasihatkan para peniaga supaya sentiasa mematuhi dan menghormati undang-undang yang telah dikuatkuasakan.
"Mana-mana individu atau syarikat diberi amaran supaya tidak melanggar undang-undang dan hormati hak harta intelek bagi mengelak tindakan undang-undang," katanya.