PORT DICKSON - Tindakan seorang lelaki cuba mencuri kabel elektrik di pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhampiran stesen minyak di Chuah di sini, kelmarin memakan diri apabila keadaannya kini kritikal akibat terkena renjatan.
Ketua Polis Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, kejadian jam 12.05 tengah hari itu mengakibatkan suspek berusia 27 tahun itu melecur keseluruhan muka dan 20 peratus pada badan.
Menurutnya, polis menerima maklumat orang awam yang memberitahu terdengar letupan kuat sebelum bekalan elektrik terputus di kawasan Site C Chuah sehingga ke Bukit Palong.
"Saksi memberitahu melihat suspek yang bajunya terbakar melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal selepas letupan itu.
"Sepasukan anggota polis ke lokasi mendapati terdapat kesan pagar dipotong di bahagian pencawang berkenaan," katanya.
Beliau berkata, sebagai tindakan, polis membuat semakan melalui Unit Kecemasan Hospital Port Dickson dan mengesahkan suspek menerima rawatan dengan seluruh muka dan hampir 20 peratus bahagian badan turut melecur.
Bagaimanapun katanya, suspek telah dipindahkan ke Hospital Tuanku Jaafar di Seremban berikutan keadaannya yang agak kritikal.
"Berdasarkan semakan suspek menetap di Taman Lukut Makmur, di sini dan sudah berkahwin. Dia juga pernah ditangkap atas kesalahan berkaitan dadah dan mencuri," katanya.
Sementara itu Aidi Sham berkata, juruteknik TNB turut membuat pemeriksaan di lokasi dan mendapati kehilangan komponen elektrik dalam pencawang terbabit.
Katanya, polis difahamkan pencawang itu menyalurkan tenaga elektrik bervoltan tinggi dan suspek akan ditahan selepas keadaannya stabil mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.