Kerajaan rugi 25 peratus cukai kandungan kreatif dicetak rompak

Iklan
Dari kiri Edlynna Hanie, Norman, Zahrin Hasnul Rahmat ketika program Wacana Sinar Harian Edisi ke-236 bertajuk ‘Cetak Rompak Digital: Industri Kreatif Makin Malap?’ yang berlangsung di Studio Sinar Harian, Seksyen 15, Shah Alam. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

SHAH ALAM - Kerajaan mengalami kerugian sebanyak 25 peratus daripada setiap kandungan kreatif yang dicetak rompak oleh pihak tidak bertanggunjawab.

Setiausaha Kehormat Persatuan Penerbit Filem, Zahrin Aris berkata, impak negatif yang dibawa oleh kegiatan cetak rompak digital itu tidak terhad kepada penggiat industri sahaja malah turut memberi kesan kepada pendapatan negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ini kerana kerajaan mengutip sebanyak 25 peratus cukai dalam setiap kandungan hiburan yang dihasilkan sebagaimana termaktub dalam dalam Akta Duti Hiburan 1953 (Akta 103).

"Sebenarnya setiap hasil daripada hiburan itu, kerajaan akan memperoleh 25 peratus daripada cukai hiburan. Itu yang dinyatakan bahawa kerugian bukan sahaja kepada industri tetapi ia juga berlaku kepada kerajaan itu sendiri,” katanya.

Iklan

Zahrin berkata demikian selaku panelis pada program Wacana Sinar Harian Edisi ke-236 bertajuk ‘Cetak Rompak Digital: Industri Kreatif Makin Malap?’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.

Wacana tersebut turut dibarisi panelis, Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Norman Abdul Halim dan pelakon serta pengarah, Hasnul Rahmat Mustafa manakala

Iklan

Edlynna Hanie Hamid sebagai moderator.

Zahrin berkata, terdapat kemungkinan bahawa ramai dalam kalangan rakyat masih belum memiliki kefahaman yang jelas berkenaan dengan isu penyalahgunaan hak cipta kandungan kreatif itu.

"Dalam masa yang sama juga perkara ini bukan hanya melibatkan kegiatan mencetak sebuah kandungan tetapi ia juga mencetak satu saluran dan sebagainya yang mana alat ini dijual di merata tempat seolah-olah ia dijual secara halal dan tiada haramnya di situ.

"Jadi oleh kerana perkara ini berlaku, pengguna-pengguna yang mungkin kurang faham berkenaan dengan cetak rompak ini adalah satu jenayah, maka mereka akan membeli tanpa rasa ragu-ragu,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, beliau berkata, dengan perkembangan teknologi digital terkini, kandungan yang dicetak rompak itu juga dengan mudah boleh disebarkan melalui pelbagai aplikasi lain seperti Telegram dan ia dilakukan secara tidak terkawal.

Jelas Zahrin, untuk mengatasi perkara tersebut, ia memerlukan penglibatan bersepadu daripada pelbagai agensi kerajaan seperti Finas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Tambah beliau, sekiranya isu itu dibiarkan berlarutan, ia bakal memberikan kesan yang sangat teruk kepada penerbit kandungan khususnya daripada aspek kewangan dan motivasi mereka dalam menghasilkan sesebuah karya.

"Akhirnya yang menanggung kerugian terbesar adalah penerbit itu sendiri kerana mereka adalah pembikin kandungan tersebut.

"Disebabkan impak begini tidak dapat dikawal, kebanyakan penerbit sendiri akan berfikir sepuluh kali untuk menerbitkan sebuah hasil karya yang bagus dengan bajet yang tinggi dan sebagainya,” katanya.