SHAH ALAM - Kempen tanda pagar #KitaJagaKita yang digerakkkan bagi memerangi wabak Covid-19 perlu digunakan bagi menimbulkan kesedaran orang awam terhadap masalah cetak rompak.
Pelakon dan Pengarah, Hasnul Rahmat Mustafa berkata, industri kreatif dan masyarakat boleh menjalinkan kerjasama erat menerusi kempen berkenaan.
Menurutnya, setiap individu digalakkan untuk menjadi pemantau dan membuat laporan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi membendung gejala tersebut.
"Setiap orang boleh jadi pemantau dan boleh membuat laporan secara terus kepada Finas. Kita perlu jadi pemantau untuk tangani perkara ini.
"Kita boleh ambil iktibar dengan #KitaJagaKita semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang semua orang bersama saling menjaga antara satu sama lain. Kita boleh jadikan ia sebagai amalan,” katanya.
Hasnul berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Edisi ke-236 bertajuk ‘Cetak Rompak Digital: Industri Kreatif Makin Malap?’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.
Turut serta pada program itu ialah Timbalan Pengerusi Finas, Datuk Norman Abdul Halim dan Setiausaha Kehormat Persatuan Penerbit Filem, Zahrin Aris selaku panelis, manakala
Edlynna Hanie Hamid bertindak sebagai moderator.
Hasnul Rahmat berkata, antara kaedah lain yang boleh dilakukan bagi mengurangkan perkara tersebut adalah melalui anjuran pelbagai kempen kesedaran.
Menurutnya, kempen dijalankan menerusi Finas dan induk lain perlu diteruskan bagi mendidik mendidik masyarakat.
"Kalau hendak cakap berkaitan macam mana untuk hentikan perkara ini, ia agak mustahil sebab benda ini selalu ada. Tetapi kita boleh teruskan kempen kesedaran untuk kurangkan gejala ini.
"Sekarang ada strategi yang baik daripada Finas, beberapa induk lain, serta TGV (pemilik pawagam) yang membuat kempen kesedaran. Kita harus lakukan dengan cara tersebut bagi mendidik dan mengurangkan gejala ini,” ujarnya.
Dalam masa sama, Hasnul mencadangkan agar penggiat industri kreatif mencari alternatif lain bagi kelangsungan hidup.
Katanya, mereka perlu merangka sesuatu yang baharu bagi mencari ruang dalam menghiburkan rakyat.
"Kita kena rangka sesuatu untuk bekerja. Sebagai seniman, perkara ini tidak akan berhenti. Kena sendiri mencari ruang untuk menghiburkan rakyat,” katanya.