KOTA BHARU - Seorang pemilik bengkel warga Malaysia maut ditembak, manakala pekerjanya cedera dalam insiden di sebuah bengkel kereta di Lorong Pracha Ruam Jai, Jalan Prathan U, daerah Sungai Golok, Selatan Thailand, malam tadi.
Sulaimi Mat Ali, 54, yang berasal dari Kampung Jalan Atas Paloh, di sini, meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Seorang lagi, Muhammad Shahrul Aiman Mohd Abdul Aziz, 18, berasal dari jalan Masjid, di sini, pula cedera pada tangan kanan.
Ketua Polis Balai Sungai Golok, Superintendan Supakon Pungros berkata, kedua-dua mangsa ditembak oleh dua individu yang tidak dikenali dengan menaiki motosikal pada jam 8.30 malam waktu tempatan.
"Jenazah mangsa akan dibawa pulang ke kediamannya di Kota Bharu hari ini.
"Seorang lagi mangsa dirawat di hospital dan keadaannya dilaporkan stabil," katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif kejadian masih dijalankan.
"Kita juga sedang mengesan individu yang mendalangi kejadian itu dan jumlah suspek sebenar yang terbabit serta motif," katanya.