SHAH ALAM - Pas mengulangi pendirian untuk terus memperkasa Muafakat Nasional dan mempertahan Perikatan Nasional (PN) di semua peringkat bagi meneruskan agenda memperkukuh perpaduan ummah yang menjadi asas kerjasama parti itu.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, memandangkan isu kerjasama semua parti politik Melayu amatlah penting dalam konteks masa depan politik negara, Pas juga menolak sebarang usaha daripada mana-mana pihak yang boleh merungkai perpaduan ummah yang sedia terjalin.
Iklan
Iklan
Selain itu, Takiyuddin berkata, parti itu juga menolak sebarang bentuk dan usaha ke arah 'penjajaran baharu' melibatkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) atau sekutunya.
"Sehubungan itu, Pas komited untuk terus memantapkan hubungan dan kerjasama tiga serangkai utama parti Melayu pribumi UMNO, Bersatu dan Pas, bersama rakan-rakan sekutu yang lain.
"(Ini) demi kelangsungan pemerintahan negara yang diterima baik oleh majoriti besar rakyat yang tidak mahu lagi sejarah hitam lampau berulang kembali.
"Pas amat yakin segala perbezaan, pertikaian serta salah faham wujud dapat diselesaikan dan mengharmonikan pimpinan parti-parti atas dasar ukhuwah serta kekeluargaan demi agenda kepentingan negara dan rakyat," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Tambahnya, pada masa sama Pas turut menekankan adalah wajar bagi semua pihak memberikan sepenuh perhatian bagi menjayakan langkah-langkah diambil kerajaan dalam usaha memerangi wabak Covid-19 dan pemulihan semula ekonomi negara.