Sindiket curi gas LPG tumpas

Iklan
Rosli (tengah) memeriksa tong gas LPG yang disita KPDNHEP

KLANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menumpaskan satu sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi dalam dua serbuan berasingan di Kapar jam 5 petang semalam.

Timbalan Pengarah Cawangan Operasi Kuas, Rosli Ahmad berkata, sindiket yang beroperasi di sebuah premis di belakang pusat mencuci kenderaan dan bangunan sarang burung walit tumpas hasil risikan pegawai kementerian berkenaan sejak dua minggu lalu.

Iklan
Iklan

"Sindiket ini menggunakan taktik menjual LPG bersubsidi kepada pihak industri iaitu dengan memindahkannya dari tong LPG 14 kilogram (kg) yang bersubsidi kepada tangki lori terlebih dahulu.

"LPG dalam tangki lori itu kemudian akan dihantar dan dipindahkan kepada tong atau tangki LPG pihak industri. Pasaran sindiket ini dipercayai kilang-kilang di sekitar Lembah Klang," katanya kepada media di salah satu lokasi serbuan.

Rosli (tengah) melihat hos paip yang digunakan sindiket memindahkan gas dari tong ke tangki silinder.

Iklan

Rosli berkata, dalam kedua-dua serbuan itu selain tangki lori berisi LPG bersubsidi, KPDNHEP turut merampas dua badan treler, sebuah lori tiga tan dan 1,880 tong LPG 14 kg dan peralatan hos paip untuk memindahkan gas terbabit.

Menurut beliau, anggaran keseluruhan nilai rampasan adalah RM 500,000.

Iklan

"Ketika serbuan dilakukan, premis tidak berpenghuni namun berdasarkan siasatan KPDNHEP yakin kedua-dua premis didalangi oleh sindiket sama.

"Jarak antara premis pertama dan kedua adalah sekitar tujuh kilometer sahaja," katanya.

Rosli berkata, pihaknya akan menyiasat dari segenap aspek bagi mengesan sindiket berkenaan.

Premis di belakang pusat mencuci kenderaan dan bangunan sarang burung walit dijadikan sebagai tempat memindahkan gas dari tong LPG 14kg ke lori silinder

"Berdasarkan alamat yang tertera kepala lori silinder yang kita sita, ada nama syarikat beralamat di Taiping Perak.

"Kita akan siasat apa kaitan syarikat itu dengan kegiatan penyelewengan ini," katanya.

Rosli menambah, sindiket ini mampu mengaut keuntungan jutaan ringgit hasil mereka merompak subsidi rakyat.

"KPDNHEP akan terus melakukan risikan dan penguatkuasaan bagi mengekang kegiatan seperti itu," katanya lagi.