Usul pemulihan ekonomi, Covid-19 pada AGM MCA secara hibrid

Iklan
Chong Sin Woon

KUALA LUMPUR - Usul pemulihan ekonomi negara dan pemerkasaan usaha melawan Covid-19 adalah antara usul yang akan dibincang serta dibahaskan pada Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) MCA yang berlangsung dua hari bermula Sabtu.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, AGM berkenaan yang pertama kalinya dilaksanakan secara hibrid menggabungkan kehadiran secara fizikal di Wisma MCA dan secara maya susulan Covid-19, turut membincangkan usaha memperkasakan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Iklan
Iklan

Beliau berkata, seramai 120 perwakilan dari Kuala Lumpur dan Selangor akan menghadiri AGM secara fizikal berikutan kebenaran pergerakan antara Kuala Lumpur dan Selangor seperti diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa lepas.

"Selebihnya akan mengikuti AGM 2020 ini secara maya termasuk wartawan yang disiarkan menerusi laman Facebook rasmi MCA. Kita juga tidak menjemput mana-mana wakil parti komponen Barisan Nasional (BN) hadir dan perasmian akan disempurnakan oleh Presiden Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Iklan

"AGM kali ini juga akan diadakan bersekali dengan sambutan ulang tahun MCA ke-72," katanya kepada Bernama di sini pada Jumaat.

Pada Sabtu, AGM dimulakan dengan persidangan sayap Wanita pada sebelah pagi yang akan dirasmikan oleh Sin Woon, manakala persidangan sayap Pemuda pada sebelah petang oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Mah Hang Soon.

Iklan

Ia disusuli dengan sambutan ulang tahun parti pada keesokannya dan juga perasmian AGM oleh Ka Siong yang juga Menteri Pengangkutan.

Sementara itu, Sin Woon menyifatkan AGM kali ini istimewa memandangkan Pendaftar Pertubuhan (RoS) baru-baru ini telah meluluskan permohonan pindaan terhadap perlembagaan parti yang diputuskan pada tahun 2019, antara lain membenarkan keahlian bukan Cina menyertai MCA sebagai ahli bersekutu.

"Turut diluluskan ialah permohonan kita untuk diubah tarikh pemilihan parti yang akan diadakan enam bulan selepas pilihan raya umum. Ini akan membolehkan parti menumpukan kepada pemerkasaan parti dan gerak kerja pilihan raya," katanya dan menambah MCA kini mempunyai seramai 1.05 juta ahli.

Beliau turut memaklumkan AGM MCA 2021 akan diadakan hujung November atau Disember tahun ini.

Ditanya mengenai sama ada tindakan UMNO untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PRU15 akan dibincangkan dalam AGM berkenaan, Sin Woon berkata, perkara itu tiada dalam senarai agenda perhimpunan.

UMNO baru-baru ini mengutuskan surat kepada Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memaklumkan tidak lagi bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU15, namun berpendapat kebersamaan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh diteruskan hingga pembubaran Parlimen. - Bernama