PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp mengakui kekalahan 0-1 kepada Chelsea dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield pada awal pagi Jumaat.
Menurutnya, The Reds tiada pilihan lain selain bangkit daripada aksi kurang bermaya tersebut untuk kembali berada pada landasan kemenangan dalam saingan EPL musim ini.
"Kualiti permainan individu Mason Mount (penjaring gol tunggal Chelsea) memberikan perbezaan kepada kedua-dua pasukan. Ia perlawanan yang sengit dengan kami juga memberikan tentangan, namun keputusan ini sukar diterima.
"Mereka (Chelsea) mempunyai beberapa peluang dengan serangan balas mereka. Kami juga mempunyai peluang melalui Sadio Mane, namun mereka menggunakan peluang dengan baik.
"Kami juga sepatutunya bertahan dengan baik, tetapi kami tidak melakukanya. Ada banyak perkara yang perku diteliti semula terutama dengan beberapa kesilapan yang berlaku," katanya.
Keputusan negatif tersebut menyaksikan penyandang juara EPL itu kian jauh daripada perebutan trofi liga musim ini selain berada empat mata di belakang empat pasukan terbaik untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan.
Malah, kekalahan itu juga menyaksikan Liverpool mencatat rekod buruk apabila buat pertama kalinya tewas lima aksi berturut-turut di gelanggang sendiri.
Mengulas mengenai kekalahan berturut-turut di Anfield itu, Klopp menegaskan pasukannya banyak membuat kesilapan dan tidak belajar daripada kesilapan sekali gus dihukum dengan kekalahan yang memalukan.
"Namun, saya tidak boleh mengatakan kekalahan ini kerana beraksi di laman sendiri. Ia bukan sebab Anfield. Secara umumnya kami banyak melakukan kesilapan. Dalam detik penting, kami perlu membuat keputusan tepat.
"Kami perlu memperbaiki kelemahan ini dan menunjukkan kualiti yang kami ada seperti yang telah kami pamerkan sebelum ini. Ia sememangnya satu tamparan hebat, tetapi ia belum berakhir. Kami perlu menang," katanya.