PELAKON, Uqasha Senrose merasakan tidak adil apabila segelintir netizen menunding jari terhadapnya apabila rakan seindustri, Emma Maembong membuka tudung.
Jelas kakak kepada pelakon Nelydia Senrose dan Raysha Rizrose ini, keputusan yang dibuat Emma juga tidak ada kena mengena dengan dirinya.
"Bagi saya, kau punya hal, aku punya hal dan tak ada kena mengena dengan saya.
"Kenapa pula nak kaitkan kami. Lagipun saya percaya ada sebab mengapa Emma buat keputusan begitu.
"Part saya dulu, dah macam-macam ujian yang saya lalui, kecaman. Jadi anggaplah ini ujian untuk Emma pula," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk kecantikan C Clean Serum di Hotel Grand Millenium Kuala Lumpur, semalam.
Tambah Uqasha, sudah menjadi lumrah kehidupan untuk menuding jari terhadap kesalahan orang lain, bagaimanapun perlulah diambil kira perasaan orang lain.
"Bagi saya dalam sibuk nak menunding hari, janganlah sampai memudaratkan perasaan orang lain.
"Pada pandangan saya, dosa setiap manusia berlainan, saya ada bahagian saya sendiri dan mungkin dia juga berbeza atau lebih berat daripada saya," jelasnya.
Bagaimanapun Uqasha berkata, dia menerima setiap nasihat dan teguran daripada orang lain dengan hati yang terbuka.
uqasha senrose.jpg
emma maembong.jpg
"Walaupun dah bertahun saya tidak bertudung, orang masih bercakap. Tapi saya terima dengan hati yang terbuka.
"Kalau orang tak bercakap nanti kita lupa diri pula. Jadi, perlu untuk orang menegur kita supaya sentiasa beringat," katanya.
Uqasha pernah mencetuskan kontroversi apabila bertindak nekad membuka tudung sekitar tahun 2016 selepas tiga tahun berhijab.
Terbaharu, pelakon Emma Maembong pula bertindak sedemikian setelah lima tahun bertudung litup.