ALOR SETAR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah mengeluarkan 190 notis kompaun dalam Ops Motosikal dan Ops Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Covid-19 di Jalan Tanjung Bendahara, di sini pada Khamis.
Pengarah JPJ Kedah, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, operasi berkenaan melibatkan 30 anggota diketuai Penolong Pegawai Penguat kuasa Unit Operasi JPJ Kedah, Mazlizan Zainon.
Iklan
Iklan
Katanya, sebanyak 190 notis atas pelbagai kesalahan dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 380 kenderaan dalam operasi bermula jam 7 pagi hingga 3 petang itu.
"Hasil operasi, kita mengambil tindakan ke atas 72 kenderaan dan mengeluarkan 190 notis melibatkan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Selain itu, notis kompaun turut dikeluarkan di bawah kesalahan teknikal di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pendaftaran Dan Perlesenan 1959)," katanya dalam kenyataan dipetik dari Facebook JPJ Kedah pada Jumaat.
Beliau berkata, operasi berkenaan bertujuan mendidik pengguna jalan raya supaya lebih berdisiplin dan mematuhi undang-undang jalan raya.
Menurutnya, operasi tersebut turut dilaksanakan bagi memastikan pematuhan aspek prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 seperti digariskan kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN).