SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa tiga kluster kini 'resah dan kalut' sehingga menyerang akaun Facebook beliau sejak beberapa hari lalu.
Serangan itu bermula selepas Ahmad Zahid membuat seruan agar seluruh jentera, ahli dan penyokong UMNO serta Barisan Nasional (BN) secara sehabis daya memanfaatkan platform media sosial.
"Beberapa hari lalu saya seru seluruh jentera, ahli dan penyokong UMNO/BN 'all out' gunakan media sosial. Tentera siber marah. Serang akaun Facebook saya. Memperlekeh dan memutarbelitkan gesaan saya.
"Mungkin sebab makan cili rasa pedas atau mungkin juga kerana arahan. Wallahualam tetapi apa maksudnya di sini tuan puan para jentera, ahli dan penyokong UMNO/BN sekalian?
"Ini bermaksud mereka kalut dengan seruan itu. Mereka resah semboyan bersahut," katanya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau pada Jumaat.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, tiga kluster didalangi musuh siber yang menyerang laman sosialnya itu melibatkan 'kluster fitnah', 'kluster cari makan' dan 'kluster takut bos hilang kuasa'.
"'Kluster fitnah' bimbang rakyat tahu akan kebenaran - akan tahu pernah diperdayakan bos mereka. 'Kluster kuasa' khuatir bos hilang kedudukan apabila rakyat menyedari UMNO/BN jua yang terbaik untuk mereka.
"'Kluster cari makan' takut UMNO/BN bangkit buat bos hilang jawatan, maka mereka apa pun tak boleh. Kepada yang memberi nasihat dan cadangan kita ucapkan ribuan terima kasih," katanya.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid meminta agar seluruh jentera parti dan ahli termasuk penyokong UMNO dan BN untuk terus memberikan fokus kepada agenda perjuangan parti berkenaan.
"Iltizam kita untuk memperkasakan semula parti dengan hati penuh tulus ikhlas demi rakyat dan negara. Insya-ALLAH platform media sosial akan dapat membantu usaha murni tuan puan semua.
"Abaikan 'reverse psychology' tentera siber. Kita belum terlambat dalam penggunaan media sosial seperti yang mereka dakwa. 'It is never too late'. PRU14 kita jadikan sempadan. PRU15 objektif destinasi kejayaan kita bersama," ujarnya.