MELAKA - Keterujaan seorang mekanik muda mengubah suai motosikal Yamaha 15ZR atau 'Ysuku' miliknya hingga mengeluarkan api dan 'bunyi kuda' tidak berpanjangan apabila dia ditahan polis dalam Op Ekzos di Ayer Molek di sini, pada Jumaat.
Pemuda yang dikenali sebagai Dani, 24, antara individu yang ditahan dalam operasi yang dilakukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka dan dikenakan sembilan saman berjumlah RM2,700 atas pelbagai kesalahan termasuk ubah suai ekzos motosikal.
Dani berkata, dia membuat ubah suai kenderaan kerana minat sehingga sanggup berhabisan RM2,500 termasuk menukar ekzos NLK yang dibeli secara dalam talian dari negara Thailand berharga RM850 sejak tiga bulan lalu.
Menurutnya, dia yang pernah mengambil kursus elektronik di sebuah institut kemahiran mengakui mempelajari ubah suai kenderaan terbabit dari seorang mekanik berpengalaman selain belajar dari Youtube.
Katanya, dia turut menjual perisian dan aplikasi haram untuk meningkatkan keupayaan kelajuan serta mod motosikal sebanyak 20 salinan kepada kaki motor dengan harga RM650 seunit.
"Sebenarnya tak ada apa-apa keistimewaan pun cuma saya ubah suai motosikal disebabkan minat.
"Saya rasa puas bila lihat motosikal keluarkan api dan pelbagai bunyi kuat," katanya ketika ditemui di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) di Bukit Beruang.
Sementara itu, Ketua JSPT negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, sepanjang empat hari Op Ekzos dijalankan sebanyak 912 motosikal diperiksa dan 852 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Pol 257 selain 24 motosikal disita.
"Kita tidak akan berkompromi dan akan meneruskan Op ini sehingga 14 Mac ini dengan memfokuskan enam hotspot," katanya.