ARAU - Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin melihat Perikatan Nasional (PN) tetap berdiri kukuh biarpun UMNO membuat keputusan memutuskan kerjasama dengan parti tersebut.
Menurutnya, kerjasama yang diberikan oleh parti-parti lain dalam PN seperti Pas dan rakan-rakan parti lain masih baik dan mereka terus menyatakan sokongan kukuh kepada gabungan tersebut.
"Pas telah menyatakan pendirian kukuh untuk kekal bersama dalam PN dengan meneruskan apa yang telah dirancang dengan mengukuhkan kerjasama terutamanya tumpuan pada Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15).
"Saya fikir tidak menjadi masalah (UMNO menamatkan kerjasama bersama Bersatu walaupun kita mahu melihat gabungan parti-parti yang ada boleh terus kekal kerana rakyat sudah mulai suka," katanya pada sidang akhbar selepas melawat pusat vaksin Klinik Kesihatan Kampung Gial, Arau pada Jumaat.
Hadir sama Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.
Menurutnya, beliau menyerahkan kepada pemimpin parti-parti lain untuk memikirkan perkara tersebut namun di peringkat PN, kerjasama masih kukuh.
Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung surat Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi secara rasmi memutuskan kerjasama dengan Bersatu pada 26 Februari lalu.
Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Janda Baik, Pahang pada 19 Februari lalu diadakan selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta UMNO menyatakan pendirian kerjasama dengan Bersatu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, parti itu perlu membuat pendirian jelas mengenai kedudukan kerjasama dengan Bersatu sebelum sebarang perundingan pengagihan kerusi dapat diteruskan bagi menghadapi PRU15.