KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengadakan lawatan rasmi empat hari ke Arab Saudi dari 6 hingga 9 Mac, diikuti ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 9 hingga 11 Mac.
Menurut Kementerian Luar (Wisma Putra) lawatan itu merupakan lawatan rasmi pertama Muhyiddin sejak memegang jawatan pada 1 Mac 2020.
Lawatan ke Arab Saudi itu sebagai memenuhi jemputan Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, Penjaga Dua Masjid Suci pada April 2020.
"Muhyiddin adalah Ketua Kerajaan pertama dijemput oleh Raja Salman susulan Persidangan Al-Ula pada 5 Januari 2021,” kata Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Program rasmi perdana menteri akan berlangsung di Istana Al-Yamamah, Riyadh pada 9 Mac merangkumi upacara sambutan rasmi, sesi mengadap secara maya dengan Raja Salman dan pertemuan dengan Putera Mahkota Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud.
Lawatan ini bukan sekadar memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk memperkukuhkan kerjasama sedia ada, malah turut memberi peluang untuk menjalin peluang kerjasama baharu di dalam pelbagai bidang seperti teknologi dan inovasi, serta kerjasama dalam bidang tenaga.
Penstrukturan semula ekonomi Arab Saudi yang sedang dilaksanakan, berpandukan Visi 2030, telah memperluaskan lagi skop peluang kerjasama antara Malaysia-Arab Saudi.
Dalam lawatan itu, Malaysia dan Arab Saudi dijangka akan membincangkan usaha-usaha untuk memperkukuhkan lagi hubungan dua hala sedia ada dan meneroka bidang kerjasama baharu dengan tujuan untuk meningkatkan kerjasama, termasuk penubuhan Jawatankuasa Strategik Peringkat Tinggi (HLSC) di peringkat menteri luar.
Kedua-dua negara juga akan membincangkan cadangan penubuhan Pusat Inovasi Teknikal Malaysia–Arab Saudi yang akan menjadi platform bagi menggalakkan kolaborasi di antara kedua-dua negara dalam kerjasama pembangunan bandar pintar, kecerdasan buatan dan Revolusi Industri Keempat.
Cadangan lain termasuk pemeteraian inisiatif ‘Mecca Road Service’ yang akan memudahkan proses pra-pelepasan ibadah Haji dan umrah bagi Jemaah Malaysia, seperti urusan penerbangan, semakan visa dan pasport, prosedur kastam dan urusan logistik lain.
Kuota Haji, serta prosedur Haji dan Umrah bagi jemaah dari Malaysia juga bakal dibincangkan.
Lawatan itu juga merintis peluang untuk Malaysia meneroka pasaran baharu bagi eksport kelapa sawit ke Arab Saudi, serta rantau Timur Tengah dan Afrika serta mengukuhkan kerjasama dalam industri halal.
Muhyiddin juga akan menunaikan umrah di Makkah, diikuti dengan ziarah di Madinah dari 6 hingga 8 Mac atas undangan Raja Salman.
Sementara itu, mengenai lawatan rasmi ke UAE, kenyataan itu berkata kedua-dua pihak akan membincangkan beberapa cadangan untuk memperkukuhkan hubungan erat sedia ada dan meneroka bidang kerjasama baharu dengan pandangan untuk meningkatkan kerjasama itu ke tahap lebih tinggi.
Ia termasuk kerjasama dalam fasa pemulihan pasca pandemik menerusi teknologi, inovasi dan kerjasama ekonomi.
Kedua-dua negara juga akan membincangkan cadangan penubuhan Gabungan Keselamatan Makanan Antarabangsa (IFSC) dengan matlamat utama untuk mewujudkan daya tahan dan keteguhan dalam rantaian bekalan makanan global.
Turut bakal dibincangkan cadangan penubuhan Kursi Sheikh Zayed bin Sultan Al Nahyan di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) untuk menggalakkan pemahaman dan hubungan di antara kedua-dua negara di samping mempromosi konsep tadbir urus baik, tanggungjawab terhadap alam sekitar dan toleransi antara agama.
Program rasmi Muhyiddin di UAE akan berlangsung di Abu Dhabi dan Dubai pada 10 Mac, termasuk pertemuan dengan Putera Mahkota Abu Dhabi dan Timbalan Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Sheikh Mohamad bin Zayed Al Nahyan, Perdana Menteri Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum.
Sepanjang lawatan itu, delegasi Malaysia tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 yang ketat sebagaimana dipersetujui pihak berkuasa kesihatan Malaysia, Arab Saudi dan UAE.
- Bernama