Nilai integriti bentuk modal insan

Iklan
Pembudayaan nilai integriti perlu disemai dalam diri sejak kecil bagi melahirkan individu yang antirasuah.

GEORGETOWN - Pembudayaan integriti seharusnya disemai dalam diri sejak kecil bagi membentuk pembangunan modal insan masyarakat yang bencikan rasuah.

Langkah ini bukan sahaja dapat mewujudkan disiplin serta akhlak yang baik malah bakal melahirkan generasi dan pemimpin yang boleh memacu negara dengan lebih berdaya maju tanpa amalan rasuah.

Iklan
Iklan

Presiden Keilmuan Nasional, Zambri Mohd Isa berkata, seawal di sekolah rendah lagi isu bahaya rasuah dan pentingnya integriti perlu didedahkan supaya murid celik dengan kesan perbuatan yang tidak beramanah ini.

Menurutnya, usaha Sinar Harian melalui kempen #RasuahBusters perlu disahut oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mewujudkan modul khas atau program tertentu untuk memberi pemahaman kepada pelajar kepentingan integriti dalam kehidupan dan implikasinya jika rasuah tidak ditangani.

Iklan
Zambri Mohd Isa

"Kita perlu semai dalam jiwa mereka bahawa integriti dan amanah merupakan prinsip penting yang boleh menghindar daripada pengaruh atau perbuatan tidak bermoral.

"Modul khas mengenai bahaya rasuah ini mungkin boleh dimasukkan dalam subjek Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral kerana perlu ditekankan budaya rasuah ini bertentangan dengan agama. Ia boleh menghancurkan negara jika terus dibiarkan,” katanya.

Iklan

Zambri berkata, perkara sama juga perlu diberi perhatian Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk memastikan mahasiswa mengamalkan budaya integriti dalam kehidupan harian mereka bukan sahaja sepanjang proses pengajian malah dalam penglibatan aktiviti di kampus.

Katanya, budaya copy and paste tugasan serta meniru ketika peperiksaan antara amalan tidak berintegriti dilakukan dalam kalangan mahasiswa dan ia hanya memburukkan lagi produktiviti mereka dalam menjadi mahasiswa berkualiti.

"Mereka (mahasiswa) ini nanti mungkin menjadi pemimpin negara pada masa akan datang selain ada dalam kalangan mereka yang akan menjawat jawatan penting tidak kira di sektor kerajaan mahupun swasta.

"Sekiranya nilai integriti dalam diri rapuh mungkin mereka akan terdedah dengan amalan rasuah dan lebih malang boleh memusnahkan karier serta masa depan,” katanya.

Mengulas lanjut, Zambri berkata, pendidikan integriti akan dapat membina generasi yang mempunyai moral serta jati diri yang baik sekali gus mewujudkan masyarakat bebas rasuah.

"Hanya mereka yang memiliki integriti sahaja mampu mengelakkan diri daripada gejala rasuah dan sudah tiba masanya isu ini diberi perhatian serius oleh semua pihak bagi memastikan budaya ini dapat diperangi bersama.

"Sekiranya dapat dimulakan di peringkat sekolah dan universiti tidak mustahil dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang budaya ini dapat ditangani sebaiknya malah masyarakat akan jijik dengan amalan rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Pada 16 Januari lalu, Pengerusi Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub melancarkan kempen yang dinamakan sebagai Sinar Untuk Malaysia #NilaiMoralKarakterBangsa bagi membanteras gejala rasuah dan membina semula negara.

Ia merupakan satu gerakan reformasi moral daripada rakyat untuk rakyat dan negara, tanpa sebarang agenda politik.