Pangsapuri digempur imigresen, 205 warga asing ditahan

Iklan

KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur menahan 205 warga asing dalam satu operasi di sebuah pangsapuri di Pudu malam tadi, kebanyakannya atas kesalahan tinggal lebih masa dan tiada dokumen perjalanan, atau dokumen pekerjaan.

Pengarah Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, serbuan dilakukan pada pukul 11.30 malam ekoran aduan penduduk setempat yang memaklumkan banyak unit kediaman di situ didiami warga asing dalam keadaan bersesak-sesak.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, serbuan disertai 92 anggota dan pegawai JIM Kuala Lumpur dengan kerjasama tujuh pegawai Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan 18 anggota dan pegawai peguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Seramai 425 warga asing yang tinggal di pangsapuri berkenaan diperiksa dan daripada jumlah itu 203 lelaki dan dua wanita ditahan atas pelbagai kesalahan, (antaranya) di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155),” katanya pada pemberita ketika ditemui selepas operasi di Pangsapuri Ixora, di sini tengah malam Sabtu.

Iklan

Menurutnya mereka yang ditahan berumur lingkungan 20 hingga 49 tahun, terdiri daripada warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar serta Nepal, dengan ramai dalam kalangan mereka bekerja di tapak pembinaan di sekitar kawasan itu.

Sementara itu merujuk kepada aduan penduduk pula, Hamidi berkata, siasatan mendapati kebanyakan pekerja asing itu tinggal dalam keadaan selesa dengan hanya dua atau tiga orang berkongsi satu bilik, dan tidak bersesak-sesak seperti dilaporkan.

Iklan

Beliau berkata, kesemua yang ditahan kemudiannya dibawa ke JIM di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tujuan dokumentasi lanjut. - Bernama