SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan kesahihan maklumat berhubung initipati Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu bertarikh 4 Mac 2021 yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, segala maklumat yang terkandung dalam sebaran tersebut adalah tidak benar, palsu dan tidak mempunyai kaitan sama sekali terhadap mana-mana mesyuarat MPT.
Iklan
Iklan
"Sehubungan itu, Bersatu akan membuat laporan polis terhadap penyebaran berita palsu itu bagi menjejaki dalang di sebalik penyebarannya.
"Bersatu tidak teragak-agak untuk menggunakan semua lunas perundangan yang ada bagi melindungi kepentingan parti serta ahli parti,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Maklumat didakwa berkaitan Mesyuarat MPT Bersatu untuk ketua bahagian parti itu tersebar di media sosial yang antaranya menyatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin meminta ahli parti bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum pada Julai depan.
Sebaran maklumat itu turut memetik Datuk Seri Azmin Ali memohon parti melantik beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri dan memaklumkan lapan lagi ahli Parlimen akan melompat menyokong Perikatan Nasional (PN).
Dalam sebaran sama turut menyebut dakwaan lebih keras dalam kes mahkamah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi boleh digunakan sebagai rundingan agar UMNO kekal bersama Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).