SABAK BERNAM - Bersatu Bahagian Sabak Bernam menyambut baik penyertaan Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh yang menyertai parti itu, kelmarin.
Ketuanya, Sallehuddin Amiruddin melalui status Facebook memberitahu, beliau berharap dapat bersama-sama Mohd Fasiah memartabat agama, bangsa dan negara
"Paling penting adalah wadah perjuangan Melayu baru wajib kita teruskan tanpa noktah," katanya.
Sementara itu, Adun Sabak yang juga Ketua Amanah Kawasan Sabak Bernam, Ahmad Mustain Othman berkata, kemasukan Mohd Fasiah memberi kekuatan kepada PH di Parlimen itu.
"Semoga PH Sabak Bernam menjadi lebih kuat dengan kehadiran beliau," tulisnya dalam status Facebook beliau, hari ini.
Ahmad Mustain yang turut memuat naik status berlainan di Facebook meminta seluruh ahli UMNO dan pengundi BN menerima keputusan terbabit.
"Terimalah dengan hati terbuka dan ikhlaskanlah dengan apa jua yang telah dikorbankan.
"Biarlah Datuk Mohd Fasiah tenang memilih haluan politiknya. Doakanlah kesejahteraannya," katanya.
Sehingga jam 4 petang, status itu menerima sebanyak 71 tanda reaksi pelbagai dan sebanyak 54 komen.
Kelmarin، Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penyertaan enam bekas Ahli Parlimen UMNO ke dalam parti itu.
Mereka ialah Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu)، Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).
Turut menerima kad keahlian parti itu ialah Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin
Mereka menerima kad keahlian Bersatu yang diserahkan Dr Mahathir.