SERDANG - Polis menyita 14 buah motosikal dalam Operasi Khas Bersepadu Kesalahan Bunyi Bising di Plaza Tol Mines Utara Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) arah selatan, di sini, pada Jumaat.
Operasi dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor memeriksa 191 motosikal membabitkan 211 penunggang.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Deputi Superintendan Sahimi Husin berkata, operasi bermula jam 4 petang telah bertindak menyita 30 buah motosikal atas pelbagai kesalahan di mana 14 daripadanya adalah kesalahan mengubahsuai ekzos.
"Pihak polis menahan semua motosikal ini sehingga pemiliknya mengambil langkah bagi menjamin kesalahan itu tidak berulang lagi.
"Selain itu, sejumlah 101 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi yang berakhir jam 7 malam," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, pecahan saman yang dikeluarkan tiada lesen memandu (40), ubah suai ekzos (14) dan pelbagai kesalahan (47).
Katanya, pihak JPJ pula mengeluarkan 32 saman termasuk 20 notis hadir periksa, manakala JAS mengeluarkan enam kompaun ke atas pemilik motosikal yang didapati mengeluarkan bunyi bising.
Operasi itu diselaraskan Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan (BSPT) IPD Serdang, Deputi Superintendan Ahmad Nazri Zainal.