PENGURUS Arsenal, Mikel Arteta mengakui Arsenal musim ini bukanlah seperti yang diharapkan olehnya.
Menurut Arteta, banyak kelemahan perlu diperbaiki The Gunners sekiranya mahu mengejar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan layak ke Liga Juara-Juara Eropah.
"Masih banyak yang perlu dipertingkatkan. Kita perlu lebih cekap dalam membuat keputusan, menyelesaikan masalah dan memanfaatkan peluang yang dimiliki.
"Lebih banyak mengawal permainan, lebih banyak usaha bertahan, kurang bolos. Apa lebih penting ialah menjaringkan gol dan lebih kreatif mencipta gerakan.
"Apabila saya melihat kedudukan liga, saya rasakan seperti Arsenal tidak ada di dalamnya. Kita terlalu jauh daripada yang diharapkan dan jika ada yang gembira dengan kedudukan ini, maka seseorang itu berada di tempat yang silap,” katanya.
Arsenal mencatatkan keputusan cemerlang selepas Krismas dengan memenangi tujuh daripada 12 perlawanan liga termasuklah menewaskan Leicester City 3-1 pada hujung minggu lalu.
Arteta bagaimanapun menjelaskan bahawa Arsenal kini berada di landasan tepat untuk kembali bangkit.
"Untuk jangka masa panjang saya melihat kita mampu bangkit. Ia menepati perancangan yang telah dibuat oleh kelab.
"Untuk melihat perkembangan pasukan kita boleh lihat bagaimana prestasi kami ketika bertemu pasukan sama beberapa lalu. Itu kaedah mudah untuk melihat perkembangan prestasi,” katanya.