KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan telah menghantar satu kertas cadangan khas kepada Kabinet bagi melaksanakan kerja-kerja pemulihan runtuhan tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, antara cadangan yang dikemukakan untuk penelitian adalah membaik pulih runtuhan tebing sungai, pengambilan tanah di kawasan yang terlibat dan pembinaan semula Rumah Pam Saliran Air Muleh.
”Jumlah saya tidak dapat umumkan lagi bergantung kepada analisis Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tetapi kita jangka akan melibatkan peruntukan sebanyak RM60 juta.
"Hasil lawatan di tempat kejadian pagi tadi, kami mendapati masih berlaku pergerakan tanah dan rekahan baharu yang memerlukan tindakan segera. Kita khuatir sekiranya lambat diselesaikan keadaan akan bertambah teruk dan bilangan penduduk yang terlibat juga akan menjadi lebih ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas turun padang ke Tapak Projek Bangunan Gunasama Persekutuan Kota Bharu di Tunjong, di sini pada Sabtu yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Mengulas lanjut, Mohd Zuki berkata, JPS telah membuat kajian mengenai punca runtuhan tebing tersebut dan hasil kajian itu akan dijadikan sebagai panduan untuk tindakan yang perlu diambil oleh kerajaan bagi memastikan hakisan itu dapat dibendung.
"Bagi meringankan beban mereka yang terkesan dalam kejadian itu, kerajaan negeri telah menyediakan penempatan buat sementara waktu,” katanya.
Pada 17 Februari lepas, sebanyak lima rumah musnah susulan kejadian tebing runtuh di Kampung Pohon Celagi menyebabkan kesemua 45 keluarga merangkumi 98 orang yang mendiami kawasan berkenaan dipindahkan ke kawasan selamat.
Dalam perkembangan lain, Mohd Zuki berkata, beliau berpuas hati dengan kemajuan Projek Bangunan Gunasama Persekutuan Kota Bharu melibatkan kos RM470 juta yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun lagi.
"Alhamdulillah, kita harap momentum ini dapat diteruskan oleh kontraktor dan agensi yang terlibat memandangkan ia mercu tanda yang boleh dijadikan contoh untuk pembangunan terutamanya di Pantai Timur,” katanya. - Bernama