IPOH - Kerajaan Perak akan menggunakan segala medium termasuk kuliah agama dan khutbah Jumaat untuk mempergiatkan lagi kempen vaksinasi.
Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Mohd Akmal Kamarudin berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bagi memperluaskan kempen berkenaan di masjid dan surau di negeri ini.
Menurutnya, usaha itu dilakukan bagi mengalakkan lebih ramai rakyat di negeri ini mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 dengan sasaran 70 hingga 80 peratus.
"Kita sedang berusaha melalui banyak kempen antaranya termasuklah di dalam khutbah Jumaat. Minggu lepas semua masjid dan surau yang mendirikan solat Jumaat membaca teks tersebut.
"Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk berkempen melalui kuliah di masjid dan surau agar mereka yang terlibat dapat menceritakan tentang kepentingan mengambil vaksin ini," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada Program Kempen Pengumpulan Buangan Elektrik dan Elektronik (e-waste) di Dewan Komuniti Kampung Ulu Chepor Tambahan, Chemor di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Rosli Zul dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.
Mohd Akmal berkata, kerajaan Perak turut menggunakan khidmat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di seluruh negeri ini bagi membantu orang ramai mendaftar secara manual sebagai penerima vaksin.
Menurutnya, sehingga 5 Mac, seramai 9,892 individu di negeri ini telah menerima vaksin Covid-19 bagi fasa pertama melibatkan petugas barisan hadapan.
Sementara itu, mengenai program Kempen Pengumpulan Buangan Elektrik dan Elektronik (e-Waste) di Perak, beliau menjelaskan kerajaan negeri akan melancarkan satu kempen di peringkat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak yang bakal dilancarkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad.
Katanya, selepas ini, program itu dijangka akan diperluaskan ke semua pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai usaha memenuhi hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Perak bumi lestari.